Lelaki ditembak polis gara-gara mengamuk tidak dapat keluarkan wang di mesin ATM


Pecah Mesin ATM, Seorang Lelaki Ditembak Polis


By Syafiqah Azman

Satu video tular dalam media sosial menunjukkan seorang lelaki dipercayai ditembak oleh pihak polis kerana menyerang salah satu pegawai polis di tempat kejadian. 


Insiden terbabit berlaku di sekitar kawasan Bandar Bukit Tinggi, Klang berhadapan dengan sebuah sekolah. 

Difahamkan, suspek terbabit mengamuk kerana tidak dapat mengeluarkan wang di mesin ATM dan seterusnya memecahkan mesin ATM tersebut. 

Kemudian, suspek dipercayai menyerang seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan sebilah pisau. 

Menerusi video tersebut, seorang lagi anggota URB telah melepaskan tembakan sebanyak dua das dan terkena di bahagian perut suspek menyebabkan suspek jatuh rebah di tepi jalan. 

Bagaimanapun, lelaki terbabit telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi rawatan awal. 

Sehingga kini tiada lagi sebarang kenyataan dikeluarkan.