Graduan kejuruteraan berhenti kerja untuk madu kelulut


Three Brother Bee Farms - Gambar daripada Bernama


By Nadhirah Sofea Rashid

Gaji yang tidak seberapa, mendorong tiga graduan bersaudara ini berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk mengusahakan bisnes madu kelulut.

Yuzaidi Marzuki, 31, Mohd Airil Che Sadom, 30, dan adiknya Ahmad Khirul, 26, berasal daripada Kubang Kiat, Kelantan, berpendapat bisnes madu kelulut lebih membahagiakan mereka berbanding kerja makan gaji.

Pendapatannya pun lebih lumayan dan punyai lebih banyak masa untuk keluarga.

"Sejak mengusahakan kelulut, pendapatan saya dan rakan kongsi adalah antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan, lebih daripada gaji graduan yang memiliki ijazah," kata Yuzaidi.

Seperti graduan lain, Yuzaidi yang merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada Politeknik Dungun, Terengganu bekerja di Shah Alam sebelum menjalankan bisnes ini.

"Walaupun ada diploma kejuruteraan mekanikal, saya hanya diambil bekerja sebagai operator pengeluaran dengan gaji RM650 sebulan.

"Nak beri kepada mak ayah kat kampung pun tak cukup dan selalu juga terpaksa menebalkan muka untuk pinjam duit dari orang tua untuk tampung sara hidup di bandar," katanya.

Bagi Mohd Airil pula, dia mula terlibat dalam bisnes ini selepas meninggalkan ladang lada seluas seekar yang diusahakannya atas tanah milik Politeknik Jeli di Kampung Joh Labok, Machang.

Beliau yang juga mempunyai Diploma Kejuruteraan Elektrikal mengambil keputusan meninggalkan ladang ladanya kerana tidak bersetuju dengan tindakan pihak pengurusan mengguna racun perosak untuk menghalau serangga.

Sementara itu, Ahmad Khirul yang merupakan graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan sijil penghawa dingin, berkata dia sempat bekerja selama tiga bulan sebagai penjaga penyaman udara di sebuah kilang di Negeri Sembilan.

Kerja yang tak menentu masa dan tiada masa untuk diri sendiri mengakibatkan Khirul memilih untuk menyertai Yuzaidi dan Airil.

Pada peringkat awal mereka mencari benih kelulut liar di hutan dan memasukkannya ke dalam batang kayu yang dijadikan 'rumah' atau koloni kelulut. 

Tetapi sejak dua tahun lalu, mereka memindahkan kelulut ke dalam ‘hive mustafa’ iaitu kotak yang diperbuat daripada kayu meran. 

Mohd Airil berkata sejak dimasukkan ke ‘rumah’ yang lebih selesa, koloni kelulut semakin bertambah dan setelah empat tahun mereka kini memiliki kira-kira 400 koloni kelulut dengan hasil tuaian lebih 200 kilogram madu sebulan. Hasil tuaian madu kelulut berbeza mengikut musim. Sekiranya musim buah, hasilnya akan lebih tinggi. 

Kelulut di ‘Three Brothers Farm’ memakan madu dari bunga durian, langsat, dukung, mangga dan bungai air mata pengan yang banyak terdapat di sekitar rumah di samping menghisap madu daripada bunga getah. 

Mereka menghasilkan kelulut dari lebah jenis Thormate, Itama dan Thorasika yang banyak terdapat di kawasan kampung.