Hans Isaac Enggan Mohon Maaf Pada Fazura


Pelakon, Hans Isaac enggan mohon maaf kepada Fazura


By Syafiqah Azman

Sudah lima hari Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) melabuhkan tirai namun kontroversi yang melanda ke atas aktres Fazura ketika malam tersebut masih lagi tidak selesai. 

Terdahulu, Fazura menyatakan bahawa dia mahu aktor filem Baik Punya Cilok, Hans Isaac untuk memohon maaf secara terbuka terhadap dirinya dan suami, Fattah Amin apabila aktor terbabit telah memburukkan nama baiknya berkenaan isu meletakkan syarat untuk menyampaikan anugerah pada malam FFM30. 


Bagaimanapun, Hans menyatakan bahawa dia enggan memohon maaf kerana apa yang dilakukannya adalah mengirim mesej secara peribadi kepada Fazura sendiri dan tidak mengaibkan aktres tersebut di mana-mana platform. 

“Setelah majlis tersebut tamat, saya terus menghantar mesej peribadi kepada Fazura dan tidak langsung membuat sebarang kenyataan secara terbuka,” jelas Hans Isaac. 

Hans turut menjelaskan bahawa isu ini bermula bukan dari pihak dia kerana dia cuma mengirim mesej secara peribadi dan Fazura telah membuka isu tersebut kepada pihak umum. 


Kalau anda perasan, pada malam FFM30 tempoh hari, Hans Isaac, Maya Karin dan juga Fazura seharusnya berkongsi pentas yang sama menyampaikan anugerah, akan tetapi timbul ‘kejutan’ yang tidak disangka apabila Fazura naik ke pentas bersama suaminya, Fattah Amin. 

Menerusi satu entri di laman sosial Instagram, Hans memuat naik satu foto berserta kapsyen memohon agar isu kecil ini tidak lagi digembar-gemburkan. 

"Marilah kita fokus kepada perkara-perkara yang lebih penting dan gunakan media sosial sebagai satu ruang yang positif. Terima kasih dan majulah filem untuk negara," tulisnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri meminta pihak Astro memberi penjelasan dan bertanggungjawab ke atas isu yang melanda ini. 

Apa pun biar kita tunggu sahaja kenyataan sebenar dari pihak Astro sendiri tentang isu ini. Dan kepada kedua-dua belah pihak iaitu Hans Isaac dan Fazura sendiri, tak usahlah bersengketa.