Pelawak Terkenal Belasah ‘Guard’ Tua


Pelawak terkenal belasah pengawal keselamatan kerana berang


By Syafiqah Azman

Kecoh di laman sosial malam tadi apabila satu video menunjukkan seorang pelawak terkenal telah memukul seorang pengawal keselamatan di taman perumahan Acacia Park Desa Jati, Negeri Sembilan.  

Dipercayai lelaki yang merupakan seorang pengawal keselamatan itu ialah seorang warga emas kerana usianya yang sudah menjangkau 68 tahun. 


Pelawak yang merupakan salah seorang ahli kumpulan popular satu ketika dahulu itu dipercayai menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa di bahagian pinggang dan membaling batu ke arahnya kerana bengang tidak dibenarkan masuk ke kawasan perumahan tersebut kerana tiada sebarang kebenaran. 

Aik, kenapa sampai angkat tangan? Tak boleh bincang elok-elok ke? 

Menerusi laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kereta yang dipandu oleh pelawak tersebut iaitu Proton Perdana berwarna hitam dilaporkan memasuki kawasan kediaman tanpa sebarang kebenaran.

“Selang beberapa minit, kereta artis berkenaan melalui semula pos pengawal keselamatan dan mangsa menegur pemandu kereta tersebut sebelum meninggalkan kawasan perumahan tersebut lalu berlaku pertengkaran,” katanya. 

Tambah beliau lagi, pelawak tersebut belum lagi ditahan, namun siasatan masih lagi dijalankan berdasarkan maklumat saksi yang berada di tempat kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV). 

Terkini, polis telah mengesahkan pelawak terbabit telah direman pagi tadi di Balai Polis Mantin. 

Walaupun laporan media tempatan tidak mendedahkan identiti sebenar pelawak tersebut, rata-rata netizen boleh mengenal pasti identitinya dan menyebut nama pelawak berkenaan. 

Menerusi pemerhatian team Youth Connect, ramai netizen yang telah menyerang akaun Instagram milik pelawak, Lan Pet Pet sehingga ke hari ini kerana tindakannya memukul pengawal keselamatan tersebut. 


Entri terakhir yang dapat dilihat di akaun Instagramnya ialah pada 5 Mac lalu telah dipenuhi dengan komen netizen meluahkan ketidakpuashatian mereka terhadap tindakan pelawak tersebut. 


Apa pun, semoga pihak tertentu menjalankan tanggungjawab mereka dan membawa pesalah ke muka pengadilan.