Tak sempat tamat pengajian ijazah, mahasiswa UniKL MIMET ditemui mati lemas


Gambar sekadar hiasan


By Nadhirah Sofea Rashid

Tahukah anda statistik menunjukkan lebih 300 kematian akibat lemas telah dicatatkan di seluruh negara pada setiap tahun?

Angka itu menjadikan purata sekurang-kurangnya seorang mangsa lemas setiap hari dan statistik itu dianggap membimbangkan.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), jumlah tersebut akan meningkat lebih lagi ketika tiba musim tengkujuh.

Semalam, seorang mahasiswa UniKL MIMET ditemui mati lemas ketika mandi di muara Sungai Dinding, Setiawan.

Dilaporkan, mangsa, Muhammad Zaffan, 27, dipercayai sedang berenang di sungai berkenaan yang berhampiran dalam kawasan kampus tersebut.

Zaffan juga dipercayai datang ke sungai itu bersama tiga rakannya, dua dikatakan sedang memancing, dan seorang lagi hanya duduk di muara.

"Saya mengenalinya sejak diploma lagi dan saya tahu dia seorang yang pandai berenang, mungkin ketika kejadian itu dia kekejangan.

"Kami akan menamatkan pengajian peringkat ijazah pada Jun dan kehilangan Zaffan sangat dirasai kerana dia seorang sahabat yang baik, ceria, dan banyak memberi sokongan kepada rakan lain," kata Naim, 25, rakan kepada Zaffan.

Lagi kes lemas yang melibatkan seorang pelajar lelaki Politeknik Kota Kinabalu.

Kemeriahan berkhemah bertukar tragedi apabila Asrul Hanna, 18, ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Wariu, Kampung Nahaba.

Asrul dikatakan mandi sungai bersama rakan-rakannya sebelum kehilangannya disedari.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Mohd Zaidi Abdullah berkata rakan mangsa kemudiannya menyelam dan menemui mangsa tidak sedarkan diri di dasar sungai itu.  

“Mangsa dibawa ke daratan dan diberikan bantuan pernafasan sebelum dibawa ke Hospital Kota Belud namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan,“ katanya.

Tidak dinafikan berenang merupakan antara aktiviti yang bagus untuk kesihatan tubuh.

Tetapi, anda perlu awasi dan sentiasa berwaspada dengan serangan kejang kaki ketika berenang kerana ia boleh meragut nyawa. 

Ini kerana serangan kejang kaki ketika berenang akan menyebabkan kaki kaku dan seterusnya gagal untuk berenang.

Walaupun anda mungkin merupakan seorang perenang yang mahir dan tidak pernah mengalami kekejangan kaki ketika berenang, langkah-langkah berjaga harus dititik beratkan.

Bagaimanakah langkah mengatasi kekejangan kaki ketika berenang?

1. Lakukan regangan

Sebelum berenang, pastikan membuat regangan terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk memastikan tubuh berada dalam keadaan bersedia dan tidak terkejut.

2. Minum air secukupnya

Sebelum berenang, pastikan anda minum air secukupnya supaya tubuh sentiasa mempunyai air yang cukup dan tidak berlaku hidrasi.

3. Rehat dan tidur yang cukup

Pastikan tubuh anda mendapatkan rehat yang cukup sebelum berenang. Ini untuk mengelakkan diri daripada cepat kehilangan tenaga.