Syafie Naswip, Aishah Azman Selamat Bertunang, Nikah Tahun Ini


Syafie Naswip bersama tunangnya, Aishah Azman


By Syafiqah Azman

Selamat melangsungkan majlis pertunangan di Forest Valley, Cheras pada Ahad lalu, pasangan selebriti Syafie Naswip dan Aishah Azman berkongsi bahawa mereka ingin melangsungkan pernikahan dalam masa terdekat. 

Walaupun kedua-dua belah pihak masih lagi belum menetapkan tarikh yang sesuai, Syafie atau nama sebenar Mohammad Syafie Naswip, 27, menyatakan hasrat ingin disatukan sebagai suami isteri pada tahun ini. 


“Insya Allah memang niat dan mempercepatkan majlis nikah dan akan diadakan tahun ini juga. Beberapa persiapan sudah pun dilakukan,” kata Syafie, pelakon filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad.

Alhamdulilah, benda baik tak elok dilambatkan, betul tak? Bak kata orang tua, tengah darah manis ni kan, banyak dugaan yang bakal dihadapi jadi lebih elok dipercepatkan. Tak begitu? 

Ibu kepada pelakon tersebut, Noorsiah Ahmad, menyarungkan cincin kepada Aishah atau nama sebenar, Aishah Afika Azman Shah, 23, sambil disaksikan keluarga dan teman rapat. 

Menariknya, Aishah dan Syafie mula berkawan rapat sejak 2015 menerusi laman sosial Instagram dan hubungan cinta mereka mula berputik sejak awal 2018. 

Ha dah boleh cari jodoh dekat Instagram pula, eh? 

Turut difahamkan, pihak lelaki telah menyerahkan lima dulang dan dibalas dengan lima dulang juga dari pihak perempuan. 

Tidak ketinggalan, rakan-rakan artis seperti Amelia Henderson, Aedy Ashraf, Jasmine Suraya Chin dan Fimie Don turut hadir memeriahkan majlis tersebut. 


Menerusi ruangan Instagram story Syafie, dia memuat naik satu entri mengucapkan terima kasih kepada mereka semua yang telah hadir dan meminta agar orang ramai mendoakan agar segalanya dipermudahkan buat mereka berdua. 

Terdahulu, abang kepada Aishah Azman iaitu Afiq Muiz telah mendirikan rumah tangga dengan seorang pelakon baru Panchara Apin pada Mac 26 lalu. 

Tahniah buat Syafie dan Aishah! Semoga segala urusan dipermudahkan, amin Insya Allah.