Kesesakan melampau di laluan motor sempadan Malaysia-Singapura


Kesesakan yang terpaksa dihadapi setiap hari di laluan M-Bike - Gambar daripada Twitter


By Nadhirah Sofea Rashid

Seorang netizen @faris_safei mengadu bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa berhadapan dengan kesesakan yang teruk akibat daripada sistem kawalan Imigresen automatik (M-Bike) di pintu masuk Malaysia-Singapura yang rosak.

M-Bike yang diwujudkan pada 2016 dikatakan dapat mengurangkan 50% kesesakan di laluan motosikal.

Tempoh pemeriksaan Imigresen dikatakan dapat dipercepatkan dari 15 saat kepada lapan saat.

Ia juga dicipta bertujuan untuk mencepatkan proses dengan sistem yang lebih efisien berbanding pemeriksaan manual.

Penunggang motosikal hanya perlu imbas pasport dan cap jari di setiap lorong yang disediakan.

Namun, apa yang terjadi adalah lebih mengeruhkan keadaan apabila rakyat Malaysia yang menunggang motosikal terpaksa menunggu dalam kesesakan yang berjam-jam di laluan M-Bike.


Menurut Faris, ada juga sesetengah kaunter yang mempunyai tanda anak panah berwarna hijau yang sepatutnya berfungsi turut ditutup secara manual.


Walaupun masalah ini berada di luar bidang kuasa Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Faris berharap agar Syed Saddiq mengetengahkan isu terbabit.

Syed Saddiq terdahulu pernah mendedikasi video khas buat rakyat Malaysia yang bertugas di Singapura.

Syed Saddiq dalam Twitternya mengatakan beliau sudah pun menyuarakan masalah ini dalam mesyuarat Kabinet dan bakal menyediakan penyelesaian.

Berdasarkan statistik, dianggarkan sebanyak 60,000 motosikal melintasi sempadan Malaysia-Singapura setiap hari dan kerajaan telah memperkenalkan M-Bike di kedua-dua pintu masuk dalam usaha mengurangkan kesesakan.

Walaupun telah disuarakan pada tahun 2017, masalah ini masih dihadapi penunggang motosikal setiap hari.

Kebanyakkan netizen menyeru agar kerajaan mengambil langkah pantas dalam mengatasi masalah ini.