Kerana telefon, wanita dirempuh teksi


Wanita dirempuh teksi - Gambar daripada Facebook


By Nadhirah Sofea Rashid

Gara-gara sibuk berbual di telefon, wanita ini dilanggar sebuah teksi.

Ceritanya begini, daripada rakaman dashboard cam seorang pemandu, wanita tersebut dilihat dalam keadaan berlari melintas jalan di Singapura sebelum dirempuh sebuah teksi.

Wanita itu juga dilihat sedar akan kelibat teksi tersebut namun terlalu lambat untuk berganjak ke belakang dan akhirnya dirempuh.

Sebaik sahaja terlanggar wanita tersebut, pemandu teksi itu terus keluar daripada kenderaan untuk membantu wanita tersebut.

Wanita itu dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. 

Menurut sebuah portal berita di Singapura, Mothership, wanita itu boleh dikenakan denda sebanyak SGD50 (RM151) kerana tidak melintas jalan dengan betul.

Baru-baru ini, perkara yang sama terjadi di Malaysia.

Seorang wanita berusia 22 tahun cedera parah selepas dirempuh kereta sewaktu dia melintas Jalan Tun Abd Razak, Kota Kinabalu.

Mangsa yang cuba melintasi jalan tidak menyedari kehadiran sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita yang sedang bergerak di lorong paling kanan.

Akibatnya, mangsa dirempuh sehingga terlambung kira-kira lima meter dan mengalami kecederaan serius di badan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Itulah akibatnya jika kita tidak melintas dengan cara yang betul.

Silalah patuhi undang-undang jalan raya. Gunakan jejantas atau laluan zebra yang disediakan dan elakkan daripada menggunakan handphone.

Sekiranya perkara ini terjadi lagi, ia bukan sahaja memberi impak kepada pejalan kaki itu sahaja, tetapi kepada pemandu kenderaan terbabit juga.