Pemandu kereta Mercedes sudah di tahan


Pemandu Mercedes langgar kereta Alza, terbabas di bahu jalan


By Syafiqah Azman

Satu video telah tular di laman sosial menunjukkan pemandu yang memandu sebuah kereta Mercedes lama E-Class telah melanggar sebuah kereta Perodua Alza dan mengakibatkan kereta terbabit terbabas di bahu jalan kemudian merempuh pokok dan memasuki longkang. 


Video yang berdurasi selama 23 saat itu menunjukkan detik di mana kereta Mercedes berwarna hitam dengan plat nombor WDY 1832 dengan sengaja menghimpit serta  melanggar kereta Perodua Alza berwarna putih dan kemudian pecut untuk melarikan diri. 

Atas bantuan video daripada dash kamera salah seorang saksi, plat nombor pemandu tersebut dapat dikenal pasti dan apa yang menghairankan adalah kereta tersebut telah mendapat sebanyak 56 saman yang masih belum dibayar. 


Manakala, dua orang wanita yang merupakan pemandu serta penumpang kereta Perodua Alza terbabit dipercayai cedera ringan dan telah dirawat oleh kakitangan kecemasan yang bertugas.  


Kejadian yang berlaku di Senawang, Negeri Sembilan ini mendapat perhatian netizen sehinggakan ada yang berkongsi gambar mengenai kereta Mercedes hitam tersebut. 

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Rosli Ishak. pemandu Mercedes Benz itu merupakan seorang wanita 25 tahun.

Tambahnya lagi, kedua-dua pemandu sudahpun membuat laporan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban. 

Pemandu Mercedes Benz sudahpun ditahan semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Apa pun, kepada pemandu di luar sana, hati-hati di jalan raya ya dan ingat biar lambat asal selamat!