Budak yatim piatu hilang tempat tinggal dan pendidikan selepas kematian ibu bapa


Budak lelaki 12 tahun yang kehilangan ibu bapa dan tidak mempunyai pendidikan - Gambar daripada Twitter


By Nadhirah Sofea Rashid

Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Itulah ungkapan bagi kehidupan seorang remaja 12 tahun yang ditimpa musibah.

Kisah remaja yang menyentuh hati ramai ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter @fazzilekmal.

Fazzil berkongsi bahawa dia menjumpai remaja lelaki ini di sebuah surau dalam bangunan PWTC.

Katanya, adik ini kehilangan segala-galanya dalam sebuah kebakaran yang meragut nyawa ibu bapanya. 

Bukan itu sahaja, dokumen-dokumen yang penting juga musnah dijilat api.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. 

Oleh sebab sijil kelahirannya yang juga hangus dalam kebakaran, adik ini gagal mendapatkan pendidikan di sekolah.


Fazzil menyeru orang ramai untuk menularkan kisah malang adik ini sehingga mendapat perhatian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Dia juga berkongsi lokasi terakhir adik itu di surau sebuah hotel bersebelahan dengan PWTC.

Menurut Fazzil juga adik ini hanya berlindung di surau atau masjid sahaja, dan hanya mengharapkan ehsan orang ramai untuk mendapatkan makanan.

Semoga kisah adik ini mendapat perhatian pihak berkenaan yang dapat membantunya.