Da’i Wan ‘Tegur’ Dua Lipa


Da'i Wan Dazrin selar kenyataan penyanyi antarabangsa Dua Lipa tentang isu LGBT


By Syafiqah Azman

Seorang pendakwah bebas, Wan Dazrin atau lebih dikenali dengan Da’i Wan memberi ‘teguran’ kepada penyanyi antarabangsa Dua Lipa mengenai sokongan dia terhadap hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). 

Da’i Wan yang mempunyai pendirian bertentangan dengan penyanyi tersebut menyatakan bahawa perkara tersebut sama sekali bercanggah dengan fitrah manusia. 


“Hak manusia adalah satu perkara yang digunakan oleh manusia apabila mereka tidak boleh mengawal nafsu mereka,” tulisnya menerusi kapsyen yang dimuat naik di media sosial. 

Terdahulu, penyanyi Scared to Be Lonely itu memuat naik satu foto di media sosialnya menyatakan bahawa hak LGBT adalah hak manusia. 


Hal ini kerana ekoran daripada undang-undang Syariah yang dilaksanakan di Brunei pada Apr 3 lalu, di mana hukuman rejam sampai mati akan dikenakan bagi kesalahan homoseksual. 

“Boikot industri dan orang yang percaya kepada aktiviti tidak berperikemanusian terhadap golongan LGBT ini,” tulis Dua Lipa menerusi entrinya dengan tanda pagar #BoycottBrunei. 

Dalam entri yang sama, Da’i Wan menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak kisah jika diserang oleh peminat penyanyi tersebut kerana baginya mereka tidak mampu melawan umat Islam di seluruh dunia ini. 

“Kekuatan kami kerana kami berdiri pada landasan yang betul, landasan yang menuntut hak fitrah manusia yang asal, dan bukan yang di luar tabi’i,” tambah Da’i Wan berserta tanda pagar #standwithbrunei.