Budak dirotan dan dimalukan oleh cikgu hanya kerana tertinggal buku


Kanak-kanak tersebut mengalami bengkak dan lebam pada bahagian betis sehingga sukar melakukan pergerakan - Gambar daripada Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Gara-gara tertinggal buku teks dan latihan subjek Pendidikan Islam, murid tahun lima mendakwa dirotan oleh guru sehingga mengalami bengkak dan lebam pada bahagian betis serta sukar melakukan pergerakan.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah kebangsaan di Kangar, Perlis.

Bapa kepada mangsa, Rizal, 42, berkata selain dirotan, anaknya juga dimalukan di hadapan rakan sekelas apabila guru lelaki berusia lewat 30-an itu memerli kanak-kanak lelaki itu supaya mengikuti kelas Pendidikan Moral.

Rizal mula menyedari anaknya dirotan selepas kanak-kanak itu menangis kesakitan ketika solat Zohor pada hari yang sama.

“Ketika itu saya sedang bekerja dan isteri menelefon meminta saya pulang ke rumah kerana anak mengadu sakit tidak boleh duduk tahiyat.

“Selepas saya memeriksa betis anak, saya terkejut kerana betisnya membengkak dan terdapat kesan rotan.

“Apabila ditanya, anak memaklumkan dia dirotan oleh gurunya dengan pembaris sepanjang satu meter sehingga pembaris itu patah hanya kerana tertinggal buku,” katanya.

Kanak-kanak tersebut bukan sahaja dipukul di kaki, malah turut dipukul bahagian punggung sebanyak lima kali.

“Pada awalnya saya enggan melaporkan perkara ini kepada pihak polis, namun pihak klinik kerajaan meminta saya mengikut prosedur kes penderaan dan menasihati membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, lebih mengecewakan apabila hari ini sudah masuk hari keempat, namun pihak sekolah dan guru berkenaan langsung tidak memohon maaf atas kejadian itu meskipun kami pernah bertemu pada Selasa lalu,” kata Rizal.

Susulan itu, Rizal membuat laporan polis serta merta sebelum anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Rizal berharap pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap guru dan pengurusan sekolah berkenaan.

“Saya kecewa kerana mereka bersikap sambil lewa atas perkara ini, malah kaki anak sehingga kini masih belum pulih dan diberi cuti sakit sehingga esok,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Superintendan Abdul Shukor Yusoff mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seseorang.

“Buat masa ini kita belum menahan guru terbabit, namun sebarang tangkapan atau tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kemudian,” katanya.