“Seram Sejuk, Jalan Gelap Tak Ada Lampu….” – Fazley Yaakob


Datuk Fazley Yaakob kongsi rasa seram sejuk redah hutan lewat malam seorang diri


By Syafiqah Azman

Penyanyi, pelakon dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob kongsi detik menyeramkan apabila dia terpaksa memandu di kawasan jalan yang gelap gelita dan meredah hutan seorang diri pada lewat malam Rabu. 

Menerusi media sosial Instagram, Fazley memuat naik satu video menunjukkan kawasan jalan yang terpaksa diredah kerana ingin menemani anak-anak serta isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz di kawasan perkhemahan Fraser Hills, Pahang. 


“Ramai yang tanya saya, lewat malam semalam saya drive seorang masuk hutan saya pergi mana,” tulisnya di ruangan kapsyen video tersebut. 

Fazley menjelaskan bahawa dia yang sibuk kerja seharian perlu mengumpul segala kekuatan meredah jalan gelap tersebut kerana sudah berjanji kepada keluarganya akan menemani mereka tidur di dalam hutan walauapa pun yang berlaku. 

Mana nak cari suami macam ni! Kalau lelaki lain confirm patah balik dah! 

“Dengan tak da lampu jalan, jalan kecil dan sebiji kereta atau manusia langsung tiada,” tambahnya lagi. 

Menurut Juara Masterchef Selebriti Malaysia ini, dia terpaksa turun daripada keretanya dan berjalan masuk ke dalam hutan selama 30 minit untuk sampai ke tapak perkhemahan popular tersebut. 

Mana tak meremang kalau dah kena jalan seorang diri, gelap dalam hutan pula tu. 

“Lepas tu saya kena bangun seawall 5 pagi untuk pulang ke KL kerana ada kerja pada awal pagi.” 


“Semuanya demi untuk bersama anak-anak dan isteri, walaupun hanya bersama untuk tiga jam, hutan setebal mana pun saya sanggup redah,” jelasnya lagi. 

Haih, bertuah dek badan kalau dapat suami macam ni ya. 

Hasil perkahwinan Datuk Fazley Yaakob dengan Datin Azrene Soraya yang dibina selama  14 tahun ini, mereka  telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 10, Ahmad Rieradz Shah, 9, Ahmad Firudz Shah, 7, dan Alayna Selma yang kini berusia lapan bulan.