Budak terpaksa berseorangan di rumah usang selepas ibu dipenjarakan


Firdaus terpaksa tinggal di rumah yang tidak terurus - Gambar Facebook


By Nadhirah Sofea Rashid

Nasib malang menimpa seorang budak lelaki berusia 12 tahun apabila terpaksa bersendirian dan tinggal di rumah usang tanpa bekalan elektrik dan air selepas ibunya ditahan dalam satu operasi dadah.

Ibunya ditahan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) awal bulan lepas dan hidup Mohd Firdaus Abdullah kini tidak ubah seperti gelandangan.

Difahamkan ibu dan ayahnya telah lama bercerai. Ibunya sudah berkahwin baru tetapi ayah tirinya juga meninggalkan mereka kira-kira lima tahun lalu.

Firdaus terpaksa tinggal berseorangan di rumah sewanya di Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi sejak dua minggu lepas.

Oleh kerana kehidupannya tidak sama seperti orang lain, Firdaus sudah tidak bersekolah sejak Oktober tahun lalu.

"Saya anak tunggal, jadi selama ni memang duduk berdua saja dengan mak. Tapi dua minggu lepas ada kawan beritahu yang mak dah kena tangkap sebab dadah.

"Saya tak sempat jumpa mak pun, tahu-tahu balik rumah dah kosong, tak ada orang pun," kata Firdaus.

Katanya lagi, kerana tidak berani tinggal bersendirian, dia menumpang tidur di rumah kawan baiknya yang juga merupakan rakan sekelasnya dahulu bernama Syafik.

"Keluarga Syafik baik. Kebetulan mak kami berkawan. Bila mereka kena balik kampung, saya pun baliklah semula ke rumah," ujar Firdaus.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Kehidupan Firdaus lebih menyedihkan apabila rumah sewanya yang turut didiami dua penyewa lain terputus bekalan elektrik dan air sejak tahun 2017.

Image may contain: one or more people and shoes

Sepanjang tempoh tersebut, Firdaus hanya mandi di tandas stesen minyak berdekatan dan rumah hanya diterangi cahaya lilin.

"Memang macam ni lah kehidupan kami, lepas berhenti sekolah, saya tolong sapu daun kering dan bakar sampah di rumah orang, dapatlah upah RM3 ke RM5, mak pula kerja cuci-cuci, orang kampung pun banyak tolong, ada yang bagi duit belanja untuk makan," katanya.

Katanya, sepanjang tinggal di rumah sendiri, bapa saudaranya kerap membantu dengan menghantar makanan setiap hari.

"Saya tak nak menyusahkan orang, mereka pun bukan orang senang. Tipulah kalau saya tak sedih...tak takut duduk seorang-seorang, tapi nak buat macam mana, reda sajalah," katanya.

Image may contain: 1 person

Firdaus juga ada menyatakan hasratnya ingin kembali ke sekolah.

"Memang saya nak ke sekolah, boleh jumpa kawan-kawan tetapi saya terpaksa berhenti sebab banyak sangat masalah," tambah Firdaus lagi.

Kisah ini mula tular di media sosial menerusi perkongsian Presiden Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud di Facebook.


Image may contain: 2 people, people sitting

Amiruddin yang juga dikenali sebagai Tok Anjang memberitahu dia menerima panggilan daripada bapa saudara kanak-kanak itu yang meminta bantuan penjagaan sementara.

Apa yang lagi berbahaya buat Firdaus ialah apabila rumahnya dicerobohi pencuri beberapa hari yang lalu.

"Mujurlah yang hilang hanya dapur dan tong gas, tetapi keadaan rumah dan kanak-kanak ini sangat tak terurus.
Kebetulan persatuan kami ada rumah wakaf yang digunakan sebagai rumah transit, jadi untuk sementara kami tempatkan dia di situ, adalah juga orang tengok-tengokkan makan minum dan pakaiannya."

"Rumah yang kami beri nama Rumah Bigbro itu baru enam bulan beroperasi khusus untuk ahli persatuan, orang bermusar atau yang kurang mampu untuk dijadikan penempatan sementara," katanya. 

Tambah Tok Anjang lagi, kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan mereka mengesyorkan agar kanak-kanak itu ditempatkan di mana-mana asrama rumah perlindungan.

"Semua maklumat telah diambil JKM dan kita tunggulah tindakan seterusnya.

"Kita nak dia duduk di tempat yang selamat yang membolehkan kebajikannya terbela termasuklah keperluan pendidikan," katanya.

Semoga Firdaus sentiasa tabah dan tidak putus asa dalam menghadapi cabaran hidup ini. 

YC juga berharap agar Firdaus segera diberikan peluang untuk kembali ke sekolah.