Kutipan Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal Kalahkan Incredibles 2!


Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Berjaya Raih RM25 Juta


By Syafiqah Azman

Baru sahaja tiga minggu ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, sekuel bagi filem animasi kegemaran ramai Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal kini telah mencatat kutipan sebanyak RM25 juta. 

Woohoo! Tahniah diucapkan kepada seluruh pihak produksi Les’ Copaque! 


Filem yang telah mencecah jumlah penonton sebanyak dua juta itu memecah rekod sebagai filem animasi yang mempunyai kutipan tertinggi di pawagam tempatan, menewaskan filem animasi antarabangsa, Incredibles 2. 

Bangga tak filem tempatan macam ni boleh pergi sejauh ini? Ternyata, industri perfileman animasi kita semakin pesat dengan idea kreatif dan juga menjulang tinggi. 

Apa yang menariknya lagi, jumlah penonton yang terlalu ramai tersebut tidak pernah lagi dicapai oleh mana-mana filem animasi tempatan sebelum ini. 


Tidak menyangka hasil penulisan cerita luarbiasa Nur Naquyah Burhanuddin ini akan mendapat sambutan ramai, dia sendiri telah mengaitkan kisah  Upin Ipin dengan watak-watak hikayat dongeng Melayu lama seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam, Ibu Si Tanggang dan banyak lagi. 

Dan siapa juga tahu bahawa Nakhoda Ragam ini merupakan suami kepada Puteri Gunung Ledang? Banyak juga ya yang kita tidak tahu tentang kisah dongeng Melayu lama ni. 

Menerusi Harian Metro online, Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya menerima lebih dari 1,000 komen positif daripada netizen dan kritikan positif daripada pelbagai sudut. 

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengkritik filem dari dalam dan luar negara yang memberikan kritikan positif,” katanya. 


Sementara itu, Burhanuddin turut menyatakan bahawa filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ini bakal ditayangkan di beberapa negara luar seperti Vietnam pada 26 April dan Indonesia pada 9 Mei. 

“Filem animasi ini juga akan dibawa sehingga ke China dan India,” tambahnya lagi. 

Memang terbaik betul Upin Ipin dan geng kali ini ya? Sampai ke negara China mereka pergi! 

Kepada mereka yang masih belum menonton filem animasi hebat ini, jangan lupa untuk serbu pawagam berdekatan anda dan saksikan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal! 

Filem yang penuh dengan pengajaran dan pengembaraan dua beradik ini sudah pasti akan mencuit hati anda dan juga kanak-kanak. 

Sekali lagi, tahniah buat Les’ Copaque!