Jenama Shyleena Fokus Untuk Ke Negara Luar


Mrs Asia Worldwide, Faridah Hope tampil dengan jenama Shyleena


By Syafiqah Azman

Dinobatkan sebagai Mrs Asia Worldwide pada tahun 2018, Faridah Hope kini tampil dengan jenama Shyleena yang bakal membawa fesyen ciptaan Malaysia ke peringkat antarabangsa. 

Ketika ditemui di satu majlis pelancaran jenamanya bertempat di Four Seasons, Kuala Lumpur Ahad lalu, Faridah menyatakan bahawa niatnya menubuhkan satu jenama khusus dibawahnya adalah untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia. 

“Nama Shyleena itu sendiri datang dari kedua ibu bapa saya, kerana dulu saya bukanlah seorang perempuan yang feminin. Jadi saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk gunakan nama itu sepenuhnya sebagai satu jenama di bawah saya,” jelasnya. 

Tambahnya lagi, dia yang ingin menumpukan sepenuhnya kepada generasi muda khusus dalam bidang fesyen, permodelan dan juga fotografi sering melibatkan kedua anak perempuannya dalam apa sahaja aktiviti yang mampu mencungkil bakat dan idea kreatif mereka. 


Bagi Isabelle Elena Hope, 12, yang sering mempunyai idea kreatif dan unik, dia menjadikan Faridah sebagai ‘role model’nya dalam mereka beberapa busana. 

Bayangkan seawal usia 3 tahun lagi Isabelle bersama adiknya, Jade Aryane Hope, 8, telah melakukan catwalk di pertunjukkan fesyen. Ternyata memang kedua-dua anak perempuan Faridah ini cukup bersemangat dan menjadikan ibu mereka sebagai inspirasi buat diri mereka. 


Jelas Faridah lagi, dia yang ingin membawa sisi budaya Sarawak menjadikan pertunjukan ini sebagai satu batu loncatan baginya untuk menganjurkan Asian Kids Fashion Show. 

Siapa tahu satu hari nanti dengan peragaan busana serta fesyen yang membawa elemen dan budaya tempatan ini mampu menaikkan lagi nama Malaysia ke peringkat antarabangsa bukan?