10A SPM pun belum tentu dapat masuk Matrikulasi??


Pelajar 10A SPM tidak dapat memasuki matrikulasi tular di media sosial


By Huzraifah Atikah

Tidak dinafikan pelajaran adalah salah kunci bagi para pelajar untuk mencapai cita-cita dan juga untuk memiliki peluang masa depan yang lebih cerah. 

Semua pelajar tidak kira bangsa dan agama sudah pasti akan bertungkus-lumus untuk mendapatkan keputusan SPM yang baik bagi memudahkan mereka memasuki ke kolej seperti matrikulasi. 

Bayangkan penat lelah mereka sehingga ada yang sanggup bersengkang mata dan tekun mentelaah sehingga 12 mata pelajaran. 

Namun, kini cuba pula bayangkan perasaan bagi sesetengah pelajar bukan bumiputera apabila meskipun mendapat keputusan yang sangat baik, mereka masih tidak layak untuk masuk ke matrikulasi hanya di sebabkan kuota yang telah ditetapkan.

Seperti yang terjadi baru-baru ini, tular di media sosial pelajar cemerlang 10A bernama Prasheela Ramasamy tidak berjaya mendapat tempat untuk memasuki mana-mana kolej matrikulasi diseluruh Malaysia. 


Transkrip keputusan cemerlang SPM pelajar perempuan ini sekaligus menimbulkan pelbagai tanda tanya dikalangan netizen. 

Adakah keputusan ini belum cukup baik untuk mendapat tempat di matrikulasi? Apakah yang terjadi sebenarnya? 

Menurut laman web Pendidikan2u bagi pemohonan matrikulasi 2019/2020, difahamkan hanya 10% daripada keseluruhan pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditawarkan kepada pelajar bukan bumiputera.

Menurut Malaysiagazette, Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja mahu penjelasan terkini mengenai pengambilan 2,200 pelajar India seperti dijanjikan oleh kerajaan terdahulu.

Atau sekurang-kurangnya membuat status pengumuman mengenai kuota penambahan 700 pelajar India ke kolej matrikulasi seperti yang sudah pun diumumkan pada April tahun lalu.

Pada Jun tahun lalu juga Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan sebanyak 1,000 penawaran khas kemasukan ke Program Matrikulasi KPM kepada pelajar cemerlang SPM khusus buat kaum Cina berpendapatan rendah B40.

“Keputusan ini dibuat susulan wujudnya rintihan mengenai pelajar cemerlang SPM bukan bumiputera yang gagal mendapat tempat dalam program ini,” kata Dr Maszlee. 

Namun begitu, nampaknya masih tidak ada apa-apa perkembangan mengenai pengambilan penambahan kuota kaum India sehingga kini.  

Hal ini juga telah membuatkan sesetengah netizen masih menyuarakan kekecewaan mereka di laman sosial seperti Twitter. Rata-rata mereka berkata: 




Selain itu, perkara ini juga turut mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen (MP) Batu Gajah iaitu V.Sivakumar.

Beliau berkata: "Tahun demi tahun masalah yang sama timbul. Seringkali, kaedah yang kita amalkan dalam sistem pendidikan negara mengecewakan pelajar-pelajar cemerlang dengan alasan-alasan yang tidak munasabah."

Sivakumar juga berkata dia amat kecewa kerana selepas kerajaan bertukar  tangan, masalah yang sama ini masih wujud juga.

Dalam masa yang sama, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu juga meminta agar Menteri Pendidikan Dr Mazlee Malik mengambil tindakan yang betul dengan segera.

"Saya sungguh berharap kerajaan Pakatan Harapan yang dianggap jujur serta adil, serta mendokong aspirasi ‘Malaysia Baru’ akan menyelesaikan masalah ini," tambahannya lagi.

Jadi apa kata anda, adakah kerajaan perlu memerhatikan perkara ini dengan lebih serius untuk mencari solusi dan membuat keputusan yang sewajarnya?