Tiada Peluang Kedua, Fizz Fairuz Buat Laporan Polis


Pelakon, Datuk Fizz Fairuz sudah pun membuat laporan polis pada Selasa


By Syafiqah Azman

Seperti yang dijanjikan tempoh hari, Datuk Fizz Fairuz sudah pun membuat laporan polis pada Selasa (semalam) mengenai fitnah yang dilakukan oleh pemilik akaun Instagram ‘Makcik Puaka’ tempoh hari. 

Atas nasihat peguam, Fizz telah pun membuat laporan polis setelah berakhirnya tempoh 24 jam yang diberikan kepada individu tersebut untuk bersemuka bersama Fizz sendiri. 

“Saya sudah beri tempoh hingga tengah malam tadi (Isnin) kepada individu tersebut untuk tampil bersemuka tapi tiada sebarang maklum balas,” jelas Fizz. 

Tambahnya lagi, dia yang sudah pun menyerahkan segala bukti kepada pihak polis menyerahkan segalanya kepada pihak tersebut untuk melakukan siasatan. 


Menerusi media sosial Instagram, Fizz memuat naik satu entri menyatakan tiada peluang kedua buat individu yang melakukan perkara sebegini dan saman tetap saman. 

Mana tidaknya, fitnah sebegitu bukan sahaja mencemarkan nama seseorang, malah boleh buat tanggapan orang luar bertukar terhadap selebriti tersebut. Bagus lah Fizz sendiri ambil tindakan terhadap orang yang tidak bertanggungjawab seperti ini. 

Rata-rata netizen turut menyokong tindakan Fizz itu sendiri dan menyatakan bahawa mereka sendiri tidak sabar ingin melihat muka pemilik akaun tersebut yang telah banyak melakukan perkara sama terhadap selebriti yang lain. 


Pada Isnin yang lalu, Fizz mendedahkan bahawa dia sudah pun mengetahui 70 peratus identiti pemilik akaun ‘Makcik Puaka’ tersebut yang mengaitkan dirinya dengan individu bergelar Datuk Seri ditangkap khalwat di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini. 

Fizz turut menyatakan individu terbabit adalah dari kalangan industri hiburan juga. 

Pada sekitar awal April lalu, Fizz atau nama sebenar, Mohd Fairuz Zainal Abidin, 40, telah memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang telah menyebarkan fitnah dan mengaitkannya dalam isu tangkap khalwat tersebut. 

Mungkin ini boleh dijadikan satu pengajaran buat mereka di luar sana supaya jangan memuat naik sebarang informasi yang mereka sendiri tidak tahu pucuk pangkalnya.