'Setia'kah orang muda dengan kerajaan PH?


Apakah yang difikir belia kita?


Situasi politik lokal kelihatan semakin rancak dan masih berada pada momentum pasang dari surut. 

Hari demi hari pelbagai isu yang dibangkitkan oleh semua golongan terutama golongan muda berkaitan dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) dalam menerajui kepimpinan negara sekaligus membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih mengagumkan dari sebelumnya.

Namun, dalam mengikuti siri-siri pilihan raya kecil (PRK) yang telah berlangsung di Cameron Highlands, Semenyih dan paling terkini di Rantau menimbulkan satu persoalan.

Ianya sama ada kerajaan PH mahupun parti-parti politik yang bekerjasama dengan kerajaan PH ini digemari, disukai, disayangi, idola, harapan dan bermacam-macam lagi oleh para pengundi khususnya pengundi muda. 

Anak muda sinonim dengan tindakan yang cepat atau mahu melihat keputusan yang lebih cepat dalam melakukan sesuatu perkara atau dalam konsep berjanji dan memberi harapan. 

Mereka memperlihatkan kegembiraan dan kekecewaan dengan jelas dalam pelbagai bentuk penyampaian sekiranya mereka tidak memperolehi sesuatu seperti yang diminta atau dijanjikan. 

Rata-rata menterjemahkan senario dalam kalangan muda ini melalui keputusan pilihan raya kecil yang telah berlangsung di beberapa lokasi sebagai medan pengundi muda menggunakan kuasa undi mereka dalam menyuarakan sokongan terhadap sesebuah parti politik. Pemilihan antara dua atau tiga parti, atau calon yang bertanding dimanfaatkan sebaiknya dalam setiap PRK yang berlangsung. 

Walaupun PH mahupun parti-parti lain yang bertanding meletakkan calon muda serta dapat mencuit hati para pengundi muda sebagai indikator atau liabiliti untuk menang dalam pilihan raya, kini sudah tidak menjadi ‘aset’ utama dalam mempamerkan kekuatan calon dalam 3 PRK tahun 2019. 

Adakah adil jika kita membuat kesimpulan dengan mengatakan bahawa anak muda sudah tidak meletakkan harapan dan yakin terhadap prestasi kerajaan PH? 

Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang dilabel dengan pelbagai nama oleh para pengkaji lokal dan antarabangsa ini, negara Malaysia yang dinakhodai oleh kerajaan Pakatan Harapan hampir menjangkau 12 bulan dalam kepimpinan negara bukanlah suatu keputusan yang tepat. 

Ya benar, janji tetap janji tetapi janji yang dijanjikan itu tidak akan ditunaikan sekiranya ia hanya janji untuk menjadi penyedap halwa telinga demi menang pilihan raya atau janji yang dibuat untuk diingkari. Semuanya terletak pada tangan kerajaan PH untuk melaksanakan janji-janji yang dijanjikan sebelum menang pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018. 

Sokongan rakyat terhadap kerajaan yang mentadbir negara pada hari ini perlu diteruskan demi kesejahteraan semua pihak. Berlaku adil tanpa mengorbankan hak dan masa depan rakyat Malaysia yang memilih dan tidak memilih Pakatan Harapan perlu diletakkan sebagai perkara keseratus untuk tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat Malaysia. 

Walaupun mesej kekalahan PH dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau tidak perlu dijulang hingga ke langit namun sedikit sebanyak kerajaan PH perlu meneliti dan menyelak semula mengapakah kemenangan tidak berpihak kepada PH pada kali ini. 

Rakyat mahupun pengundi tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa tidak lama lagi kerajaan PH akan ‘gulung tikar’ jika tidak ubah perangai atau dasar kepimpinan sedia ada. Dengan hanya 3 siri PRK jangan cepat membuat kesimpulan akhir tanpa mempedulikan gambaran penuh atau implikasi lebih besar terhadap sesuatu perkara yang berlaku. 

Kini, terletak kepada kerajaan PH untuk menilai dan membuat pelan kemenangan supaya sentiasa menjadi pilihan utama dalam semua perkara sekiranya mahu terus menang dan tidak hanya menjadikan Barisan Nasional sebagai bahan kerajaan yang lemah. 

PRK Semenyih mempunyai 45 peratus pengundi muda berumur bawah 40 tahun, calon PH juga muda tetapi tetap kalah. Ke manakah undi pengundi muda itu pergi? Mengapa tidak memilih orang muda sebagai wadah untuk membawa suara mereka kepada kerajaan Malaysia? Calon tidak sesuai? Ada apa dengan calon muda? 

Tanyalah diri kita sama ada negara kini berada pada landasan yang lebih baik dari sebelumnya atau sebaliknya. Bahagiakah dan sejahterakah kita dalam melalui kehidupan seharian? Ekonomi semakin stabil? Ketelusan dan integriti semakin hebat? 

Akhirnya jawapan ini akan kembali kepada baki gaji dalam simpanan atau lauk apa yang akan menjadi santapan diri dan keluarga. PRK Rantau jelas memperlihatkan saluran pengundi muda iaitu saluran 4,5 dan 6 menyumbang undi paling tinggi dan telah memilih parti pembangkang sebagai pilihan mereka. 

Ini tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan PH merupakan sebuah kerajaan yang diberikan harapan penuh untuk memimpin negara yang selama ini dikotori dengan pelbagai aspek ketidaktelusan pentadbiran BN sepertimana yang dikatakan oleh semua pihak. 

Jika keadaan ini berterusan, ia bakal memberi impak yang lebih besar kepada prestasi dan imej kerajaan PH mahupun parti-parti politik lain. Sebelum mengambil sesuatu tindakan, hendaklah beringat-ingat dahulu kerana apabila sudah terhantuk baru tengadah, tentulah tidak ada gunanya lagi.


Prof. Madya Dr. Noor Sulastry Yurni Dato’ Ahmad

Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business, 

Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur