Jangan paksa wanita untuk bertudung - Peguam


Unveiling choice yang ditulis oleh aktivis Maryam Lee - Gambar Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Isu tudung adalah satu isu sensitif. Bukan saja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Baru-baru ini timbul isu apabila aktivis Maryam Lee Abdullah yang juga  melancarkan bukunya yang bertajuk 'Unveiling Choice' dan juga forumnya yang ada membincangkan mengenai isu perempuan Melayu yang tidak lagi bertudung.

Secara amnya, program itu berkisar perkongsian pengalaman wanita bertudung yang memilih untuk membuka tudung.

Image result for malaysiakini maryam lee unveiling

Buku dan forum tersebut menerima pelbagai respon daripada netizen termasuklah pengarah eksekutif kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya Abdullah yang mengingatkan orang ramai supaya tidak memaksa wanita untuk bertudung.

Latheefa, yang juga seorang aktivis, berkata tiada paksaan dalam Islam berkaitan tuntutan berkenaan.

“Saya langsung tidak setuju orang dipaksa pakai tudung. Itu bukan cara Islam. Tiada paksaan dalam Islam. Mana pergi prinsip ini?

“Hanya semata-mata seorang tak pakai tudung - adakah dia akan masuk neraka? Adakah dia jadi murtad? adakah dia jadi seorang perempuan yang jalang?

“Come on lah, itu adalah satu pemikiran ekstremis,” kata peguam hak asasi manusia itu di Facebooknya, hari ini.


Hal ini juga mendapat perhatian Menteri Agama Mujahid Yusuf Rawa yang mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menyiasat forum berkenaan.

Malah Mujahid berkata pihaknya mengambil maklum dan memandang serius berkaitan penganjuran forum tersebut.

Mengulas lanjut berkaitan forum itu, Latheefa berpendapat orang yang menghadiri program tersebut tidak akan luntur imannya.

“Biar seseorang wanita itu bebas memikir dan memilih sama dia mahu berhijab atau tidak.

“Janganlah mencerminkan orang Islam itu terlalu rapuh dan obses kepada bentuk badan, rambut dan seks,” katanya.

Latheefa juga tidak bersetuju jika pengajaran Islam hanya berasaskan pemakaian seseorang.

“Bukan sekadar tudung sahaja. Biarlah orang nak bincang kenapa dia buka tudung atau pakai tudung,” katanya.

Peguam yang lantang bersuara berkaitan hak asasi itu juga sempat berkongsi cerita kisahnya sebelum memakai tudung.

Menurutnya, beliau memilih jalan itu bukan kerana ingin tunjuk ‘alim’ sebaliknya sebagai satu tanda protes kepada penganiayaan terhadap mereka yang menutup aurat di timur tengah.

Rata-rata netizen mengecam tindakan aktivis Maryam Lee atas forum dan bukunya dengan alasan bertentangan dengan agama dan tidak mendatangkan faedah.

Namun, ada juga yang menyokong atas sebab kebebasan suara dan menyeru menteri untuk mengutamakan hal yang lebih penting daripada menyiasat perkara ini.

Ha, apa kata anda?