Dua pelajar politeknik cipta alat tangkap ular


Alat 'Snake Shock Stick' tersebut berharga RM150


By Huzraifah Atikah

Hebat! Dua penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) Pahang telah mencipta alat menangkap ular menggunakan kuasa elektrik. 

Peralatan yang dinamakan ‘Snake Shock Stick’ itu mengalirkan kuasa elektrik 3.7 voltan dihasilkan daripada bateri, bertujuan melemahkan ular apabila disepit.

Kedua-dua pelajar yang bernama Muhammad Fadhlan Safee, 21, dan Muhamad Ilham Hakimi Abd Sukor, 22, mengambil masa hampir sebulan untuk menghasilkan alat terbabit.

“Alat ini berharga RM150. Ia mudah digunakan dan sesuai untuk menangkap ular bersaiz sederhana besar dan berbisa seperti tedung selar, kapak, sawa dan senduk,” kata Fadhlan.

“Penyepit yang boleh laras pada hujung batang bertindak sebagai pemegang badan ular bagi mengelakkan reptilia itu bertindak agresif serta menyerang,” tambahannya.


Fadhlan menerangkan lagi, selepas ular disepit, dua jarum yang berada di hujung galah akan mengalirkan arus elektrik dan melemahkan reptilia dalam masa beberapa saat sahaja.

Pelajar tahun akhir Diploma Elektrik dan Elektronik itu juga berkata kotak suiz yang turut menempatkan bateri, berfungsi mengawal aliran arus elektrik dan selamat untuk digunakan.

Naman begitu, walaupun gagal meraih kejayaan pada Program Inovasi, Pelancaran Produk dan Keusahawanan 2019  di POLISAS baru-baru ini, kedua-dua mereka tetap gembira dapat memperkenalkan inovasi baharu itu. 

“Saya berpuas hati apabila ramai pengunjung singgah di gerai kami untuk melihat dan mendapatkan penerangan mengenai inovasi ini yang dianggap menarik dan berkesan untuk menangkap ular berbisa.

“Suatu hari nanti, kami berharap alat berkenaan dapat digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi menangkap ular berbisa, terutama selepas penambahbaikan dilakukan,” kata Ilham.

Mereka sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk menghasilkan alat terbabit pada skala besar. 

Menurutnya lagi, mereka berdua bercita-cita menghasilkan lebih banyak inovasi di masa akan datang. Maka dengan ini, teruskanlah usaha!

Nampaknya anak-anak muda masa kini semakin kreatif dan berinovasi dalam menghasilkan produk yang boleh disaingkan diperingkat antarabangsa kelak.