“Video ‘baby ketiga’ hanya sekadar gurauan…” – Hanis Zalikha


Hanis Zalikha tampil beri penjelasan mengenai video viral yang dimuat naik Hairul Azreen


By Syafiqah Azman

Belum keluar lagi baby kedua, pelakon terkenal, Hairul Azreen sudah pun meminta baby ketiga daripada  isterinya. Amboi, bukan main lagi bang. 

Video viral yang dimuat naik oleh aktor  filem Paskal ini telah mengundang pelbagai kritikan netizen apabila dilihat kurang sopan dan seolah-olah tidak menghormati isterinya yang juga  pelakon dan usahawanita, Hanis Zalikha.


Namun bagi pihak Hanis sendiri, dia menganggap bahawa video tersebut hanyalah sebagai suatu gurauan Hairul buat dirinya. 

“Kadang-kadang bila kita bergurau, ada orang rasa kelakar ada orang rasa sebaliknya. Jadi, bagi Hanis sendiri tak kisah dan rasa itu hanya sekadar gurauan yang Hairul sendiri buat namun saya terima apa orang ingin kata,” jelas Hanis. 

Hanis yang ditemui di sebuah majlis perlantikannya sebagai duta Happikiddo serta ‘Baby Shower’ di Hotel Grand Hyatt pada Rabu (semalam). 


Tambahnya lagi, dia yang mengenali suaminya berkata dia tidak ambil pusing dengan gurauan tersebut kerana Hanis percaya Hairul merupakan seorang yang komited dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. 

“Kalau Hairul sendiri gurau dan cakap soal baby ketiga, keempat atau kelima sekali pun, Hanis percaya dia akan menjadi seorang bapa yang baik kepada anak-anak kami,” kata Hanis kepada team YC. 


Sementara itu, Hanis menjelaskan bahawa Hairul yang rindu akan keluarganya ketika sesi penggambaran hanya ingin menghiburkan hati isterinya dengan membuat video sedemikian dan berkongsi bersama peminatnya. 

Mungkin orang luar yang tidak mengenali Hairul tidak tahu perwatakan sebenarnya apabila bersama isteri dan rakan-rakan. Jadi, tak usahlah membuat spekulasi bahawa Hairul tidak menghormati isterinya, betul tak?

Pada 12 April lalu, Hairul berkongsi sebuah video berdurasi 19 saat di media sosialnya bersama beberapa lelaki dengan menyatakan ‘mahu buat anak ketiga’ di set penggambaran filem. 

Kepada mereka di luar sana, masing-masing punya hak ingin melontarkan pendapat namun, gunakan kata-kata yang positif dan elakkan daripada menyakiti hati orang. Tak ke elok begitu?