Pencuri hati kering curi kereta Pengarah Narkotik Bukit Aman


Kenderaan MPV yang dicuri - Gambar Facebook


By Nadhirah Sofea Rashid

Kes kecurian kereta bukanlah satu benda yang jarang-jarang kita dengar.

Tapi, yang jarang kita dengar apabila kereta penguatkuasa yang dicuri!

Terkini, kenderaan MPV Toyota Vellfire yang digunakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, dicuri apabila diletakkan di parkir sebuah restoran di Sungai Ramal, Kajang, kelmarin.

Berani betul pencuri kereta sekarang. Bukan calang-calang kereta yang dicuri!

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kenderaan mewah itu disedari hilang selepas pemandu selesai makan di restoren berkenaan.

“Pemandu terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Jinjang selepas selesai menyelenggara kenderaan itu sebelum menuju ke Negeri Sembilan.

“Pemandu singgah untuk makan di sebuah restoran di Sungai Ramal pada jam 7 malam dan sebaik selesai makan kira-kira jam 8 malam, dia menyedari MPV berkenaan tiada di parkir berhampiran restoran itu,” katanya.

Bukan sahaja kereta yang hilang, pemandu turut kehilangan dompet dan dokumen pengenalan diri!

Ini bukan kali pertama, kenderaan rasmi Ketua Polis Selangor terdahulu iaitu Tan Sri Khalid Abu Bakar juga pernah dicuri!

Kereta Proton Perdana V6 berwarna hitam tersebut dilaporkan hilang di tempat letak kereta berhadapan sebuah restoran di Seksyen 9, Shah Alam.

Selepas 48 jam, kereta tersebut ditemui di Prima Damansara berserta sebuah nota.

"Sorry PDRM, tersilap sapu."

Ha, tahu takut!

Agak-agak pencuri Vellfire tu tahu tak dia curi kereta Pengarah Narkotik Bukit Aman, atau pun dia sejenis hati kering?!