Elyana Lawan Cakap Doktor Demi Anjur Konsert


Penyanyi, Elyana akui terpaksa tunda rawatan kimoterapi bagi konsert pertamanya


By Syafiqah Azman

Walaupun tidak mendapat kebenaran dari pihak doktor atas faktor kesihatan, penyanyi dan pelakon, Elyana yang kini berhadapan dengan kanser limfoma tahap empat, tetap dengan pendirian 'degilnya' untuk  menganjurkan konsert pertama buat peminat di luar sana. 

Penyanyi Kalis Rindu itu berkata bahawa niatnya untuk mengadakan konsert sudah tertanam lama, dan kali ini dia berjaya merealisasikan impiannya itu. 

Apabila ditanyakan mengenai tahap kesihatannya, Elyana berkata dia nekad dengan keputusannya dan ingin meneruskan sekalipun doktor tidak membenarkannya berbuat sedemikian. 


“Saya ni memang dari dulu terkenal dengan keras kepala. Dan kalau orang cakap tak boleh memang saya nak juga jika itu baik buat saya serta dapat memuaskan hati saya."

“Doktor hanya boleh memberi nasihat, tapi ini hidup saya dan kemahuan saya, jadi saya akan buat juga," katanya. 

Tambahnya lagi, dia akan mencuba sedaya upaya untuk menjaga diri dan kesihatan sepanjang tempoh sesi latihan agar segalanya berjalan dengan lancar. 

“Sebab itu konsert ini kami bekerjasama bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) agar mereka dapat memantau kesihatan saya dan memberi nasihat yang terbaik buat diri saya,” jelas Elyana. 


Elyana atau nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal, 32, ditemui pada sesi sidang media bagi pengumuman Elyana ‘Jadi Diriku 19’ Live in Concert di The Gardens, Kuala Lumpur pada Khamis. 

Sementara itu, Elyana turut berkongsi niatnya ingin mengadakan konsert pertama ini adalah bukan buat dirinya tetapi buat mereka yang tidak pernah putus memberi semangat serta dorongan kepadanya sepanjang ‘melawan’ penyakit kanser limfoma tahap empat itu.