Terima Mesej ‘Bila Nak Mati’ Buat Elyana Kecewa


Elyana sudah tidak hiraukan mesej negatif netizen buat kesihatannya


By Syafiqah Azman

Sudah hilangkah sensitiviti dan juga kesopanan dalam pertuturan di kalangan warga netizen ni? Sehingga berani bertanyakan soalan yang dianggap tidak hormati perasaan sanggup dilontarkan. 

Sebagai seorang pesakit kanser limfoma tahap empat sejak tujuh tahun yang lalu, penyanyi dan pelakon, Elyana tidak terlepas daripada terkena kecaman warga netizen di media sosial. 


Elyana, 32, yang sama seperti manusia biasa berkongsi bahawa mesej sebegitu sangat melukakan hatinya. 

“Saya hanya manusia biasa sama seperti anda semua, jadi bila terima kecaman dan mesej ‘bila nak mati’ ia sangat terkesan buat saya tambah-tambah lagi bila saya tengah sakit atau sedang menerima rawatan.” 

“Bila dapat soalan macam tu saya fikir ramai yang tidak suka kan saya. Sehingga saya tanya diri saya apa yang telah saya lakukan sehingga orang inginkan saya mati,” jelasnya.

Manusia manalah yang tidak waras bertanyakan soalan sebegitu rupa? Memang nak kena ni! 


Namun kecaman dan mesej negatif sebegitu tidak pernah mematahkan semangat Elyana untuk terus berjuang dalam hidup melawan penyakit kansernya itu. 

“Saya sekarang dah banyak belajar jadi saya tak hairan dengan apa orang nak cakap sebab kita tak akan mati dengan cacian orang,” kata Elyana. 

Pada diri Elyana, dunia ini berputar dan biarlah Allah SWT sahaja yang membalas perbuatan mereka di luar sana. 

Sementara itu, Elyana turut berkongsi berita gembira buat peminatnya apabila dia bakal hadir dengan konsert pertama iaitu Elyana ‘Jadi Diriku 19’ Live in Concert pada 6 Julai ini. 

“Ini adalah buat peminat saya di luar sana dan sebagai satu sokongan buat mereka serta bukti bahawa kita boleh melakukan apa sahaja walaupun anda seorang pesakit kanser,” tambahnya. 

Konsert Elyana ‘Jadi Diriku 19’ Live in Concert bakal diadakan di Bentley Music Auditorium, Damansara. 

Penjualan tiket bermula pada 24 April ini di aplikasi serta laman sesawang Shopee dan harga tiket boleh didapati bermula dari RM139 sehingga RM199.