Malam MeleTOP Milik Syafiq Kyle?


Pelakon, Syafiq Kyle sekali lagi mencuri tumpuan


By Syafiqah Azman

Kalau sebelum ini kita dengar aktor yang kini semakin ‘melambung’ namanya di industri telah merangkul trofi di Drama Festival Kuala Lumpur, kali ini pada malam Anugerah MeleTOP 2019 (AME2019), Syafiq Kyle sekali lagi menjadi ‘highlight’ apabila membawa pulang tiga trofi semalam. 


Anugerah MeleTOP yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Ahad telah menyaksikan aktor drama popular bersiri Nur itu merangkul tiga anugerah iaitu, Fesyen MeleTOP, Pelakon TV MeleTOP dan juga Bintang Filem MeleTOP. 

Hebat betul eh aura Nur ni? Sampai semua anugerah Syafiq Kyle bolot!

Dalam pada masa yang sama, penyanyi Khai Bahar telah muncul sebagai pemenang kategori utama anugerah AME2019 iaitu kategori Top Top MeleTOP (Lelaki) dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 serta trofi. 


Ini bukanlah kali pertama Khai memenangi anugerah bagi kategori tersebut kerana pada tahun sebelumnya, Khai telah pun merangkul anugerah tersebut bersama dengan hos popular, Noor Neelofa. 

Bagi kategori Top Top MeleTOP (Wanita), penyanyi Siti Nordiana telah diumumkan sebagai pemenang buat pertama kalinya dan seperti Khai, dia turut membawa pulang wang tunai sejumlah RM10,000 bersama dengan trofi. 


Siti Nordiana turut membawa pulang satu lagi trofi bagi kategori Hos MeleTOP mengalahkan empat calon kegemaran lain iaitu Alif Satar, Jihan Muse, Sherry Alhadad dan juga Zizan Razak. 

Macam tak percayakan Siti Nordiana dapat kalahkan barisan hos hebat ni? Memang terbaik la! 


Bukan itu sahaja, malah AME2019 kali ini telah memberi Anugerah Khas kepada penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau dalam menghargai jasa dan karya beliau dalam bidang seni hiburan selama 51 tahun, sejak 1968. 

Siapa ingat lagi lagu M. Daud Kilau? Ha senyumlah senyumlah ahai cik mek molek, ingat lagi tak? Memang lejen habis!

Bersesuaian dengan tema kali ini iaitu Yang Lejit, Yang Legend, AME2019 telah menampilkan persembahan hebat daripada barisan penyanyi Ayda Jebat, Misha Omar, Hael Husaini, Andi Bernadee, Exists dan ramai lagi.