Sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh 5 - 10 tahun terlalu lama, netizen nak rebus degree!


Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman


By Nadhirah Sofea Rashid

Isu pengangguran dan kekurangan peluang pekerjaan bukanlah satu isu yang jarang kita dengar. 

Perkara ini adalah antara isu yang masih menjadi satu masalah terutamanya bagi golongan belia.

Terbaharu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan akan menubuhkan satu pasukan petugas untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan kepada belia dalam tempoh lima hingga 10 tahun bagi mengatasi masalah pengangguran.

“Pada mesyuarat Kabinet itu, saya telah usulkan beberapa isu berkaitan belia, terutama memastikan peluang pekerjaan bermutu untuk golongan belia dan Kabinet telah meluluskan satu pasukan petugas khas untuk ini.

“Pasukan petugas itu antara usaha kami untuk menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan,” katanya.

Namun demikian, ada yang tidak berpuas hati kerana menganggap tempoh lima hingga 10 tahun sebagai terlalu lama.

Zakaria Asnan, 26, yang telah menamatkan pengajian sarjana muda tahun lepas masih belum mempunyai kerja.

"Saya expect kerajaan dah ada cara nak banyakkan peluang pekerjaan. Tapi baru nak tubuhkan task force. Jadi kita nak kena tunggu lima ke 10 tahun macam tu?," ujarnya.

Carie Ng, 24, seorang graduan pengurusan sumber manusia daripada sebuah universiti swasta juga mahukan kerajaan tunaikan janji dengan segera.

"Saya sekarang hanya dapat menolong bisnes keluarga. Nak dapat kerja memang belum lagi. Itu sebablah saya nampak peluang dan harapan dalam manifesto kerajaan hari ini. Saya harap kerajaan dapat tunaikan dengan segera," katanya.

Rata-rata netizen juga menganggap tempoh yang diperuntukkan adalah terlalu panjang.

Pelbagai rintihan daripada belia yang dapat kita tengok dalam isu pengangguran ini. 

Ada berkata sebahagian masyarakat belia sekarang malas untuk berusaha mencari pekerjaan.

Namun, realitinya, ramai telah berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan pekerjaan sampingan.