Penumpang penerbangan AirAsia menceritakan semula kisah kematian bayi didakapannya


Suasana cemas bertukar sugul setelah bayi itu meninggal dunia di dakapannya


By Huzraifah Atikah

Tiada siapa yang boleh jangka takdir tuhan, terutama sekali berkenaan ajal dan maut.

Ianya kerana kematian boleh terjadi kepada sesiapa pun, tidak kira tua atau muda.

Ia juga boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja. Mungkin esok, lusa, atau mungkin juga malam ini. 

Namun, mungkin bagi penumpang pesawat AirAsia D7236, tidak pernah terlintas untuk menghadapi suasana hening dan panik seperti ini. 

Salah sorang penumpang bernama Nadia Parenzee telah menceritakan semula pengalamannya di Facebook berkenaan kejadian kematian bayi berusia dua bulan ketika dalam penerbangan dan didalam dakapannya.


Bekas jururawat itu berkata, penerbangan yang dinaikinya dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Perth dan dari awal penerbangan bayi itu suda mula menangis tidak berhenti-henti. 

Ketika itu, suasana dilaporkan dalam keadaan terkawal dan dia juga ada menawarkan bantuan kepada pasangan ibu bapa bayi tersebut apabila dia sedar bayi itu kelihatan sangat gelisah.  

Beberapa ketika selepas itu, bayi tersebut masih juga tidak berhenti menangis dan pramugari bertugas turut membantu dengan memberikan botol susu kepada bayi berkenaan. 

Dalam postingnya di Facebook, dia berkata: “Saya dapat melihat mereka (ibu bapa bayi) agak tertekan. Bayi itu asyik menangis, tetapi kemudian saya dapat melihat pramugari itu memberi botol susu kepada bayi. Jadi saya fikir ‘OK, mungkin dia hanya lapar’.”

Namun suasana bertukar cemas apabila Nadia yang baru sahaja ingin melelapkan mata dikejutkan oleh pramugari secara mengejut untuk meminta bantuan. 

Pasangan tersebut segera menyerahkan bayi mereka kepadanya dengan wajah yang terdesak dan dia cuba membaca surah Al-Fatihah.

“Namun secara tiba-tiba, bayi tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir dan tidak bergerak. Saya terus merasakan ada sesuatu yang tak kena dan berteriak kepada penumpang sama ada terdapat doktor yang boleh menyelamatkannya.”

Beberapa orang doktor yang berada dalam pesawat segera memberi Cardiopulmonary resuscitation (CPR) dan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan bayi berkenaan dalam tempoh 2jam setengah, iaitu sehingga mendarat. 

Menurut ABC News, Nadia juga ada meminta juruterbang untuk membuat pendaratan kecemasan, namun mereka perlukan masa untuk mendapatkan isyarat untuk mendarat dengan selamat (clearance).

Setelah berbincang, mereka akhirnya meneruskan penerbangan ke Perth di mana pasukan kecemasan akan bersedia untuk menyambut mereka serta-merta tetapi usaha tersebut gagal kerana bayi tersebut telah meninggal dunia.


Difahamkan pasangan tersebut adalah dari Arab Saudi dan baru berpindah ke Australia untuk memulakan hidup baru dan ayah bayi tersebut sedang melanjutkan PhD di sana.

Bayi perempuan berusia 2 bulan bernama Farah tersebut juga merupakan anak sulung kepada pasangan tersebut. 

Menurut pasangan itu juga, bayi itu telah dibawa berjumpa doktor seminggu yang lalu untuk merawat demam.

“Suasana kecoh pada awalnya bertukar sugul. Namun semua penumpang serta staf penerbangan memberikan kerjasama yang amat profesional.” tambahan Nadia. 

Luluhnya hati pasangan ibu bapa itu atas kehilangan anak mereka hanya tuhan yang tahu.

Takziah diucapkan, semoga keluarga ini tabah menghadapi dugaan dan semoga roh bayi itu dicucuri rahmat.