Kesasteraan harus diperkukuhkan di universiti seluruh Malaysia


Marilah bersama-sama KPM untuk membangkitkan semula kesasteraan Malaysia


By Huzraifah Atikah

Bersamaan dengan hari buku sedunia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mempertengahkan pendedahan mahasiswa dan masyarakat terhadap karya-karya penting semua sasterawan Malaysia.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata ia adalah untuk memeriahkan suasana wacana ilmu di kampus dan menghangatkan kembali persekitaran sastera tempatan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook KPM hari ini, golongan sasterawan merupakan golongan yang banyak menyumbang kepada pembentukan Malaysia dan intelektual rakyat. 

Maka dengan itu, KPM amat menghargai sumbangan golongan sasterawan dan mulai tahun 2019, KPM telah memulakan program yang dikenali sebagai Sasterawan Di Universiti.


Melalui program ini juga, semua universiti awam memilih barisan Sasterawan Negara untuk menjadi Sasterawan di Universiti masing-masing. 

“Kita tidak mahu, karya-karya Sasterawan Negara ini hanya tersorok di sebalik rak-rak di perpustakaan sahaja. 

“Kita mahu ia diteliti dan dibedah agar segala isi dan pedoman yang terkandung dalam karya-karya berkenaan mampu mengisi hati kita,” kata Maszlee. 

Semua universiti awam juga telah mewujudkan sudut khas bagi menghargai jasa dan pengorbanan Sasterawan Negara ini. 

“Suara mereka terus penting dan relevan sepanjang zaman untuk kita bersama-sama memacu perubahan ke arah pembentukan negara yang lebih baik,” Tambahan beliau. 


Hal ini juga mampu memberikan semangat kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menghayati ketokohan dan keilmuan yang wujud dalam pemikiran setiap sasterawan ini.

Di samping itu, KPM melalui Dewan Bahasa dan Pustaka akan menggiatkan usaha secara menyeluruh untuk menerbitkan semula karya-karya penting semua Sasterawan Negara.

Ianya agar usaha Sasterawan Di Universiti akan dapat diperkukuh melalui keberadaan karya-karya ini.