Pelajar dah lali dengan masalah gangguan bekalan air


Gangguan bekalan air yang telah bermula semalam - Gambar Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Menjalani kehidupan harian tanpa air telah pun menjadi kebiasaan kepada ramai pelajar UiTM Shah Alam dan pemotongan bekalan air selama empat hari ini bukanlah sesuatu yang baru untuk mereka.

Seorang pelajar Wan Kamariah Wan Taib yang telah tinggal lebih tiga tahun di situ, telah lali dengan alasan yang diberi oleh pihak berkuasa iaitu penyelenggaraan air sedang berlaku.

"Saya rasa dah lali dah dengan musim tak ada air ni. Alasan yang sama diberi iaitu penyelenggaraan demi keselesaan di masa hadapan. Tapi masalah gangguan air ni dah bertahun berturut-turut dah terjadi. Takkan masih menyelenggara?," ujar pelajar sains sosial ini.

Wan Kamariah yang kini tinggal di rumah sewa, turut memberitahu ada rakan-rakannya yang tinggal di rumah sewa yang lain terpaksa menumpang mandi di rumahnya.

"Saya memang dah buat persediaan rapi dah untuk menghadapi masalah ini sebab memang dah tahu akan timbul juga," ujarnya.

Buat Aiman Daniel, 21, yang tinggal bersama 10 orang housemate di sebuah rumah sewa mengatakan mereka terpaksa mencatu penggunaan air.

"Dalam rumah kita, dah ramai orang. Nak taknak memang terpaksa limitkan penggunaan air. Kalau susah sangat ada yang diantara kami mandi dekat stesen minyak," ujar pelajar jurusan bahasa itu.

Bagi Muhammad Hadi Kassim yang berulang-alik dari Ampang ke UiTM Shah Alam lain pula ceritanya.

Hadi yang tinggal di tingkat 16 sebuah flat di Ampang, terpaksa turun naik untuk mendapatkan bekalan air daripada tangki lori yang disediakan.

Dia dikatakan berulang-alik kerana ingin menjaga ibu bapanya.

"Susah tu memang susah tapi saya dah biasa dah dengan masalah ni. Tapi disebabkan saya duduk di tingkat paling atas, masa yang diambil untuk mengangkut ke semua air itu memang lamalah," katanya.

Ahmad Nazirul Aiman, 20, yang tinggal di kolej berkata dia telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi gangguan bekalan air.

"Saya tak pasti pihak kolej ada sediakan air atau tak tapi saya dah beli beberapa tong air dengan bantuan ibu bapa saya. Yelah, nanti nak mandi tak ada air susah pula kan," ujar Nazirul.

Mengapa berlakunya gangguan bekalan air ini?

Menurut Suruhanjaya Perkhidmata Air Negara gangguan kali ini susulan kerja penambahbaikan sistem paip dan kabel elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 yang memerlukan loji ditutup buat sementara waktu.

Pengerusi Span Charles Santiago berkata sistem paip dan kabel elektrik 32 kiloWatt memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan gangguan tidak terancang.

Span juga mengambil kira jika gangguan berlaku, ia akan menjejaskan kehidupan penduduk di bulan Ramadan dan semasa Hari Raya.

Kira-kira 4.1 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur berdepan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bermula semalam.