Jom naik Bukit 2 Ringgit!


Bukit 2 ringgit - Gambar Google


By Rasyidah Zulkifli

Pengalaman memanjat bukit 250m tinggi bukanlah sesuatu yang mudah jika tiada kemahiran asas.

Bukit 2 Ringgit bukanlah sebuah bukit yang di atasnya terpacak kedai “Eco Shop” seperti yang digembar-gemburkan menjual barangan RM2 namun nama timangan ini sememangnya telah wujud sejak lama lagi.

Terletak di antara Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung, ini mungkin menjadi sebab bukit ini digelar 2 Ringgit.

Pengunjung yang ‘nakal’ juga menggelarkan bukit ini sebagai bukit murah atas angka RM2 itu.

Namun begitu, hakikat sebenarnya ekspedisi ke puncak bukit ini adalah percuma dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Menariknya, mereka yang sudah ‘kering poket’ atau tidak berbajet tetapi menginginkan aktiviti sihat setiap hujung minggu, sangat digalakkan untuk memanjat bukit landai ini. 

Istimewanya, bukit ini mempunyai trek laluan tersendiri untuk memanjat bukit dengan selamat.

Laluan ini juga berbatu, jadi pengunjung tidak perlulah risau terjatuh atau tergelincir kerana pasti ada sahaja batu yang boleh ditambat.

Uniknya, apabila sampai ke puncak ini, pendaki boleh menikmati empat pemandangan yang berbeza.

Terdapat sisi pemandangan ke arah Bukit Beruntung, satu sisi ke Bukit Sentosa, Genting Highland dan sipi-sipi raut banjaran Titiwangsa.

Perjalanan ke puncak ini tidak memakan masa panjang, paling lama hanya 30 minit bagi pengunjung baru yang menerjah hutan nipis ini.



Menjadi kegemaran pendaki untuk mendaki pada waktu seawal lepas subuh untuk melihat matahari terbit atau waktu senja demi melihat matahari terbenam di ufuk barat.

Lazimnya, bukit ‘murah’ ini mendapat sambutan ketika musim cuti sekolah atau pada hujung minggu.

Dari situ kita dapat melihat ibu bapa juga tidak ketinggalan membawa anak-anak kecil untuk turut mendaki.

Ini bermakna bahawa bukit ini tidaklah terlalu tinggi malah sesuai untuk didaki untuk pelbagai peringkat umur.