Belum tamat pelajaran, wanita ini sudah memiliki 4 perniagaan!


Noorazeaty Maulad Mohd Khalif


By Nadhirah Sofea Rashid

Wow! Umur baru setahun jagung sudah mempunyai empat perniagaan sendiri!

Itulah dia Noorazeaty Maulad Mohd Khalif, 25, Ikon Usahawan Universiti Putra 2019, yang berani menyahut cabaran memasuki dunia perniagaan.

Noorazeaty atau lebih mesra dipanggil Zety telah didedahkan dengan selok belok perniagaan seawal usianya lapan tahun lagi.

Setiap masanya diisi dengan bekerja untuk mencari wang untuk mengumpul modal wang perniagaan.

Sifatnya yang rajin menimba ilmu menjadikan beliau kini memiliki empat buah syarikat walaupun terpaksa berulang alik dari rumahnya di Banting ke Kuala Lumpur untuk hadir ke sesi latihan atau bengkel keusahawanan.

"Kalau diikutkan sejak usia 20 tahun, saya sudah berhasrat mahu berniaga. Ketika itu, muncul idea untuk mengusahakan penternakan lembu, malah saya berniat untuk menamatkan pelajaran sehingga diploma sahaja.

"Tetapi ibu meminta saya meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah, jadi saya tunaikan permintaannya. Dalam masa yang sama, saya mencari peluang untuk berniaga dan bekerja separuh masa.

"Semasa bekerja separuh masa itu, saya pernah ada pengalaman bekerja untuk tempoh yang lama tetapi dibayar gaji sangat sedikit. Dari situ saya sedar, saya tidak mahu bekerja di bawah orang lagi," ujarnya.

Pernah mengalami kerugian RM20,000 ketika awal pembabitan dalam perniagaan, Zety kini boleh berbangga dengan pencapaiannya hari ini.

Bermula dengan modal RM3,000, pendapatan bersih Zety yang memiliki jenama Delish Chocolate kini dianggarkan kira-kira RM15,000 sebulan.


"Sebenarnya, sampai sekarang saya masih menanggung kerugian itu. Tetapi tidak mengapa kerana perjalanan saya masih panjang, dan saya anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran", katanya yang turut memiliki rangkaian perniagaan lain iaitu percetakan dan agensi pelancongan.

Walaupun sudah memiliki empayar tersendiri, pelajar tahun akhir Fakulti Ekologi Manusia itu tidak pernah melekakan pelajaran.

"Kalau ada peluang melanjutkan pelajaran, ambil peluang itu. Jangan fikir tentang duit sahaja kerana ilmu yang ditimba ada nilai tersendiri.

"Apatah lagi dalam dunia serba kompetitif, termasuk dalam bidang perniagaan, ilmu membantu menambah keyakinan pelanggan kepada kita," tambahnya lagi.

Tahniah buat Zety dan semoga dia menjadi insipirasi buat belia di luar