Syed Saddiq Bersama Tony Fernandes, Bawa BTS Ke Malaysia


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq bersama dengan Pengerusi Perbadanan Malaysia (PSM) Tony Fernandes, bakal bawa BTS ke Malaysia


By Syafiqah Azman

Dengar cerita kumpulan K-Pop terkenal Bangtan Boys (BTS) bakal hadir ke Malaysia pada tahun 2020? Betul ke? Rasa macam lama lagi, tapi memang tak sabarkan?


Pada Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman berjanji bahawa ingin membawa kumpulan K-Pop BTS ke Malaysia bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020. 

Dalam pada itu, Syed Saddiq menjelaskan bahawa dia sudah pun berjumpa dengan Tan Sri Tony Fernandes yang dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pada tahun lalu untuk menunaikan janjinya itu.

“Saya baru sahaja berjumpa dengan salah seorang ‘promoter’ yang menjayakan sebarang konsert bagi BTS dan kami dalam rundingan untuk mendapatkan BTS ke Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya ketika ditemui di Putrajaya. 

Menerusi media sosial Twitter, Tony memuat naik satu posting menyatakan bahawa pihaknya kini sedang berusaha untuk membawa BTS ke Malaysia. 


“Berusaha keras untuk BTS. Tiada sebarang tarikh lagi ditetapkan tapi kami masih dalam rundingan dan harap dapat melakukan sesuatu bersama @LiveNation,” tulisnya. 

Sementara itu, Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa Malaysia telah jauh ke belakang jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura sebagai tempat utama destinasi bagi hiburan dari negara luar. 

Betul tu, kalau perasan, selebriti atau penyanyi luar negara sering kali ‘lupa’ dengan Malaysia. Mungkin tak nampak ke Malaysia di peta dunia? 

Harap berita gembira ini menjadi kenyataan sebab peminat BTS atau pun digelar sebagai Army pun rasanya tak sabar, betul tak?