Buat FB Live semasa menonton Avengers, 8 dihalau keluar pawagam


Mereka diarah untuk memadam rakaman - Gambar daripada China Press


By Nadhirah Sofea Rashid

Lapan individu dihalau keluar daripada pawagam oleh anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam Operasi Hak Cipta, gara-gara merakam filem yang sedang hangat diperkatakan iaitu Avengers: Endgame.

Ish ish ish, berapa kali orang nak kena bagitahu jangan rakam dalam pawagam?

Seramai 10 anggota mengambil bahagian dalam operasi tersebut yang tertumpu di 21 dewan tayangan di sekitar ibu kota dari pukul 7 malam sehingga 12 pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Azeem Nazuri berkata pihaknya dengan kerjasama pemilik panggung mengadakan operasi ini bagi mengekang kegiatan cetak rompak yang kini menjadi keluhan dalam industri filem dan muzik.

Mereka didapati merakam dan mengambil gambar menggunakan telefon pintar.

"Operasi yang dijalankan bagi mendidik dan memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat rakaman atau penstriman haram di media sosial.

"Orang ramai juga harus faham bahawa hak cipta perlu dihormati dan dilindungi," katanya.

Jelasnya lagi, mereka yang didapati melakukan kesalahan tersebut didalam pawasgan boleh dikenakan denda minima RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua mereka dihalau serta merta dan diarah untuk memadam rakaman mereka.

Mereka hanya diberi amaran tegas untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Tetapi ada diantara netizen menyatakan bahawa mereka patut didenda dan bukannya dilepaskan begitu sahaja.

Apa pendapat anda?