Aizat Amdan Kongsi Bapanya Pengkritik Utama Dalam Karier Seninya


Penyanyi Aizat Amdan keluarkan single terbaru berjudul, Angin Lalu


By Syafiqah Azman

Baru sahaja mengeluarkan sebuah filem pendek tempoh hari, Aizat Amdan berkongsi cerita pula kisah di sebalik pembikinan single terbarunya berjudul Angin Lalu yang bakal dikeluarkan pada Mei ini. 

Lagu ciptaan dirinya sendiri dan juga Mel Ramlan ini sedikkit-sebanyak mengisahkan tentang detik hitam yang dilaluinya, di mana Aizat kehilangan orang tersayang iaitu bapanya. 

“Angin Lalu ni adalah sebuah lagu Balada dan pada asalnya lagu ini berjudul Sepi. Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah tentang kesakitan yang dilalui seseorang yang  harus dibawa ke hadapan dan bagaimana hidup harus diteruskan,” jelas Aizat. 

Dia turut mengakui  berasa kehilangan yang amat serta sunyi sejak pemergian bapanya kira-kira lima bulan yang lalu, namun pembikinan single Angin Lalu  itu sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan terhadap arwah bapanya.  

Aizat, 32, turut berkongsi  mengenai sikap arwah bapanya yang sering memberikan kritikan positif terhadap apa jua perkara yang dilakukannya. 


“Ayah saya merupakan salah seorang penyokong dan juga pengkritik kuat buat diri saya. Setiap kali saya keluarkan lagu, dia akan kritik dulu dan beritahu saya apa yang bagus dan tidak,” jelas Aizat. 

Tambahnya lagi, dia yang senang dengan kritikan bapanya menyatakan bahawa bukan mudah untuk seseorang itu memberikan kritikan positif kerana kebiasaannya orang hanya memberi puji-pujian sahaja. 

Bukan mudah nak cari orang yang boleh beri kritikan membina buat kitakan? Zaman sekarang ni lebih banyak kritikan nak jatuhkan orang adalah, tak pun puji sebab nak sedapkan hati sahaja. 

Dalam masa yang sama, Aizat turut bercakap mengenai filem pendek buat single terbarunya adalah gimik yang dikeluarkan sebelum melancarkan singlenya pada 17 Mei ini. 

BACA: Aizat Amdan Bakal Jadi Pengarah Filem? 

“Secara jujurnya ini adalah gimik, sebab sekarang dunia dah moden jadi kalau kita nak keluarkan lagu kena sentiasa ada idea kreatif jadi dengan itu saya keluarkan filem pendek dahulu sebelum single saya,” kata Aizat. 


Penyanyi Susun Silang Kata ini turut menyatakan pembabitannya dalam filem pendek tersebut hanya sekadar sebagai kemunculan istimewa sahaja dan bukan pelakon utama. 

Aizat telah pun kehilangan bapanya, Datuk Amdan Mat Din pada 9 Januari lalu akibat diserang penyakit angin ahmar. 

Pada mereka yang belum saksikan filem pendek arahan Ganesh Venugopal dan Lisan Yee serta penolong pengarah Aizat sendiri, anda boleh saksikan di bawah! Sediakan tisu siap-siap!