Filem One Two Jaga Rangkul Dua Trofi Utama di AIFFA 2019


Filem One Two Jaga telah memenangi dua anugerah utama di Anugerah Filem Festival Antarabangsa Asean 2019 (AIFFA2019)


By Syafiqah Azman

Kemenangan One Two Jaga tidak berhenti setakat di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) sahaja kerana pada Sabtu lalu, filem berkisahkan tentang drama aksi jenayah Malaysia ini telah merangkul dua trofi utama di Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) di Kuching, Sarawak.

Antara anugerah yang diraih filem Crossroads: One Two Jaga adalah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh Amerul Affendi dan Pengarah Terbaik yang dimenangi oleh Nam Ron. 

Menerusi media sosial Instagram, Nam Ron memuat naik satu posting menyatakan perasaannya memenangi anugerah tersebut. 


“Alhamdulilah. Terima kasih Asean International Film Festival Awards atas anugerah ini. Tahniah buat seluruh team OneTwoJaga, tanpa anda siapalah saya. Maaf kerana tak dapat bersama kalian,” tulisnya menerusi kapsyen posting tersebut.

Tambahnya lagi, kemenangan yang diperolehi ini hanya diraikan sehari dua sahaja manakala tanggungjawab yang harus dipikul adalah buat selama-lamanya. 

Memang dahsyat betul Nam Ron ni ya tak pernah berhenti menghasilkan karya-karya bermutu dan juga menjadi tunjang utama dalam industri hiburan kita. 

“Doakan saya agar mampu menghasilkan lebih baik kerana saya masih mentah dan lemah,” jelasnya lagi. 

Nam Ron atau nama sebenar Shahili Abdan, 49, difahamkan tidak dapat menghadiri festival tersebut kerana berada di Taiwan. 

Filem yang mengisahkan di sebalik tabir kehidupan pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Zahiril Adzim, Amerul Affendi dan juga Vanidah Imran.