Guru rotan murid 22 kali guna penyodok sampah


Gambar daripada Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Seorang pelajar Tingkatan Satu mendakwa dipukul di punggung dengan batang penyedok sampah di sebuah sekolah di Lahad Datu, Rabu lalu.

Pelajar lelaki itu mendakwa dipukul sebanyak 22 kali sehingga menyebabkan lebam dan kecederaan di bahagian punggung.

Ketua Polis Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu berhubung kejadian itu pada jam 9.56 pagi semalam.

“Kejadian berlaku jam 11.30 pagi dalam kelas dan pengadu mendakwa dipukul guru kelasnya yang berusia 38 tahun menggunakan sebatang penyedok sampah plastik di bahagian punggung sebanyak 22 kali di hadapan pelajar lain.

“Kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan pelajar itu yang tidak hadir ke sekolah pada Apr 22 lalu tanpa kebenaran dan makluman kepada guru kelas,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati ketika kejadian itu, guru lelaki itu terlupa membawa rotan ke dalam kelas.

“Sebagai alternatif untuk melaksanakan denda, suspek menggunakan batang plastik penyedok sampah sebagai rotan.

“Akibat pukulan itu, pengadu lebam di bahagian punggung. Pengadu diarahkan mendapatkan rawatan awal dan pemeriksaan mendapati bahagian punggungnya lebam dan mengalami kecederaan tisu lembut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pengadu tidak hadir ke sekolah pada Apr 22 lalu kerana mengikut bapanya ke Tawau bagi menyaksikan kejohanan taekwondo.

Mansor berkata, polis merampas sebatang penyedok sampah plastik untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, seorang guru turut disiasat kerana merotan seorang murid sehingga mendatangkan kecederaan hanya disebabkan murid tersebut tertinggal buku.

Baca: Budak dirotan dan dimalukan oleh cikgu hanya kerana tertinggal buku