Biasiswa khas untuk wartawan tempatan melanjutkan pengajian


Mazlee percaya wartawan tempatan boleh bersaing pada peringkat antarabangsa. - Gambar dari Facebook KPM


By Huzraifah Atikah

Wartawan muda yang ingin melanjutkan pengajian kini boleh mendapatkan biasiswa daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

"Ini merupakan hadiah daripada KPM dalam menghargai sumbangan dan peranan wartawan dalam membentuk Malaysia Baharu dalam bentuk yang kita sama-sama idamkan," kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika menyampaikan ucapan pada Malam Wartawan Malaysia di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Maszlee berkata perincian mengenai biasiswa ini akan disiarkan dalam masa terdekat.

Disamping itu, Maszlee turut mengumumkan KPM akan berkolaborasi dengan stesen penyiaran antarabangsa Al Jazeera dalam menawarkan khidmat latihan dan bimbingan khusus kepada mereka yang ingin mengasah bakat kewartawanan.

Beliau berkata Universiti Teknologi Mara dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah memberi respon positif untuk bekerjasama dengan Al Jazeera bagi tujuan itu.

Maszlee juga berhasrat melihat wartawan Malaysia bukan sahaja bekerja di negara ini tetapi mampu pergi lebih jauh.

“Saya nampak satu hari nanti mungkin setengah dekad hadapan, wartawan Al Jazeera, BBC, CNN, New York Times, Wall Street Journal ada terdiri daripada kalangan rakyat Malaysia. 

“Ini dapat dicapai sekiranya kita punyai rangkaian yang tepat dan pendedahan, dan saya yakin rakyat kita boleh,” tambah beliau.

Nampaknya ini adalah satu perkara positif untuk para wartawan muda.