Palsu: Video Seram Anak Depan Cermin


Nasrullah Napi dedah video tular ada makhluk halus disebalik cermin adalah palsu


By Syafiqah Azman

Video tular yang menunjukkan seorang kanak-kanak bermain di hadapan cermin tiba-tiba bertukar menjadi seram apabila bayangan kanak-kanak tersebut tidak bergerak. 


Kalau tengok balik video tu tengah malam memang seram beb! 

Namun, ada segelintir netizen mula mempertikaikan video yang dikaitkan dengan makhluk halus itu sebagai video yang sudah disunting atau ‘edit’. 

Video yang dirakam oleh ibu kanak-kanak tersebut membuatkan dirinya panik dan segera memanggil suaminya untuk mengalihkan anak mereka dari cermin tersebut. 

Menerusi media sosial Facebook, Nasrullah Napi, 31, bapa kepada kanak-kanak tersebut telah memuat naik video berkenaan. 

“Jangan bagi anak main cermin malam-malam. Kalau tak ini lah jadinya,” tulinsya. 


Namun, jika dilihat di ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa keraguan mereka mengenai kesahihan video tersebut apabila nampak seperti sudah disunting. 

“Jujurnya video itu saya buat sebagai salah satu teknik pemasaran tentang kesan khas tetapi tak sangka pula boleh tular,” jelasnya. 


Nasrullah yang bekerja sebagai penerbit video menjelaskan bahawa dia menghasilkan video itu sekadar suka-suka dan mengakui bahawa ia adalah palsu kerana dia sendiri yang melakukan suntingan tersebut. 

Phew, ingatkan betul la tadi? Nampak macam ‘real’ kan? 

Teknik video yang membuatkan bayangan kanak-kanak tersebut tidak bergerak dipanggil ‘masking’ dan proses untuk melakukan suntingan tersebut hanya mengambil masa selama sejam sahaja. 

Nasrullah menjelaskan video tersebut hanya sekadar teknik pemasaran dan memohon maaf kepada mereka yang percaya dan menyatakan bahawa dia tiada sebarang niat untuk mempersendakan mana-mana pihak. 

Mungkin warga netizen ni ambil serius sangat mengenai perkara sebegini, ya dak? Tapi teknik macam ni boleh ‘laku’ kalau nak buat filem seram! 

Pada waktu yang sama, Nasrullah yang menerima kecaman hebat dari warga netizen menjelaskan dia tidak kisah apa yang ingin diperkatakan oleh orang di luar sana. 

“Ramai yang kecam cakap saya guna anak untuk dapat perhatian dan untung tapi sebelum ni pun saya sudah buat video sebegini cuma ia tidak tular,” jelasnya.