Ibu bapa memberi kejutan dengan membasuh kereta guru sempena Hari Guru


Para ibu bapa yang hadir. -Gambar dari Utusan


By Huzraifah Atikah

Wah, meriah sungguh sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Jelor, Kelantan!

Mana tidaknya, seawal pukul 8 pagi lagi sekumpulan 15 ibu bapa membuat satu kejutan khas buat para guru untuk bersama warga sekolah menyambut Hari Guru. 

Alangkah terkejutnya guru-guru sekolah itu apabila menyedari ketika mereka sedang berkumpul bersama 268 murid di medan perhimpunan, rupanya para ibu bapa sedang sibuk mencuci kereta mereka. 

Ibu bapa yang hadir membawa peralatan sendiri dari rumah seperti baldi, cecair pembersih dan kain pengelap bagi melancarkan proses mencuci kereta tanpa pengetahuan guru-guru. 

Menurut Guru Besar sekolah Zurina Ripin, ini kali pertama ibu bapa hadir secara berkumpulan untuk sama-sama menyambut Hari Guru. 

"Kami hanya sedar apabila mereka selesai membasuh kenderaan," katanya.


Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah Hisyam Daud berkata ia adalah sebahagian kejutan yang dirancang jawatankuasa PIBG tanpa melibatkan guru.

“Hanya ibu bapa murid Tahun Enam yang membasuh kereta sebagai simbolik menghargai jasa guru yang mendidik anak mereka Darjah Satu hingga Darjah Enam,” kata Hisyam. 

Menurutnya, mereka sempat mencuci kesemua 46 buah kereta cikgu termasuk empat buah motosikal.

Hebat! Mungkin PIBG sekolah lain boleh mencontohi cara ibu bapa sekolah ini menghargai pengorbanan cikgu untuk mendidik anak-anak mereka.