Milo beri kejutan kepada wanita mengandung yang idamkan Milo lori


Natasya dikejutkan pihak Milo - Gambar Twitter


By Nadhirah Sofea Rashid

Betullah kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu!

Video ibu bapa mentua yang mengejar lori Milo demi menunaikan hasrat menantunya yang mengidamkan minuman Milo daripada lori telah berjaya menarik perhatian pihak Nestle Products Sdn Bhd.

Baca: Mentua kejar lori milo gara-gara menantu mengidam!


Wanita mengandung tersebut, Natasya Rose Nizam, 23, yang kini hamil lapan bulan anak sulungnya berkata, dia tidak menyangka apabila pihak Nestle memberi kejutan dan menghantarkan sebuah lori Milo ke rumah mentuanya semalam. 

Natasya dimaklumkan sebelum itu oleh suaminya, Muhammad Azmer Mohd Badrul Merzam, 23, bahawa keluarganya mahu mengadakan majlis makan-makan dan menjemput anak yatim sempena menyambut ketibaan Ramadan.

Setibanya Natasya di depan rumah mentuanya, dia terkejut apabila ternampak sebuah lori milo.

“Saya nak minum secawan je, tak sangka dapat lori terus! Selepas hampir enam bulan mengidam akhirnya keinginan saya tertunai juga, malah saya berasa seakan mahu menangis saat menghirup air Milo lori ini,” ujarnya.


Menurutnya, dia menjadi ketagih Milo sejak usia kandungannya dua bulan.

Sebelum ini Natasya sudah pun minum pelbagai jenis milo. Daripada dibancuh sendiri, minum di kedai, minuman Milo tin atau kotak semuanya sudah kecuali Milo daripada lori Milo.

“Keinginan itu mungkin dipengaruhi kenangan ketika zaman sekolah dulu...saya bersyukur dan terharu kerana ramai pihak prihatin akan keinginan saya,” katanya yang dijangka bersalin pada 27 Jun depan.

Sementara itu, ibu mentuanya, Datin Hasmazurah Shahbudin, 46, berkata, insiden itu berlaku ketika dia bersama suami serta seorang lagi anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mereka keluar bersarapan.

Mereka sebenarnya hanya terserempak dengan sebuah lori Milo, lantas mengejarnya dan meminta lori itu untuk berhenti di tepi.

“Saya memaklumkan kepada pemandunya bahawa menantu saya mengidam Milo lori berkenaan tetapi mereka memaklumkan tidak dapat membancuh air berkenaan kerana perlu bergegas ke satu acara di Kemaman," ujarnya. 

Rata-rata netizen memuji keprihatinan pihak Nestle dengan memenuhi keinginan wanita mengandung ini.

Ramai juga yang cemburu dan mahukan Milo daripada lori juga!

Apa-apa pun selamat bersalin buat Natasya!