Erma Fatima Pencetus Idea Rumah Budaya, ‘Culture House’


Erma Fatima bersama Tun Dr Siti Hasmah melihat baju kurung songket yang disediakan di Rumah Budaya, 'Culture House', Menara Kuala Lumpur


By Syafiqah Azman

Kini, pelancong luar mahupun dalam negara boleh mengunjung Rumah Budaya atau ‘Culture House’ yang telah dibuka di salah satu tempat pelancongan terkenal di kotaraya Kuala Lumpur iaitu Menara Kuala Lumpur (Menara KL). 

Pengasas dan pencetus idea, Erma Fatima berkata bahawa Rumah Budaya ini sudah pun dibuka sejak sebulan yang lalu dan pelancong boleh merasai sendiri bagaimana perasaan mengayakan pakaian tradisional Malaysia dan bergambar di studio yang telah disediakan. 


“Bila kita pergi ke Korea atau Jepun kita seronok pakai pakaian tradisional mereka jadi saya rasa kita juga seharusnya berbuat seperti itu untuk mengangkat lagi budaya kita kepada pelancong luar terutamanya.

“Saya dapat lihat budaya kita sekarang semakin jauh jadi sebagai seorang yang berada di industri seni, saya perlu lakukan sesuatu,” jelasnya ketika sidang media selepas majlis perasmian yang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Menara Kuala Lumpur pada Selasa lalu. 

Erma Fatima bersama Tun Dr Siti Hasmah di Rumah Budaya, 'Culture House', Menara Kuala Lumpur

Bukan itu sahaja, malah pakaian yang disediakan mempunyai 13 jenis dan sebanyak 200 pasang baju baharu menampilkan pelbagai budaya yang berada di Malaysia. 

Memang semua pakaian ditempah baru dan kita sendiri boleh lihat betapa uniknya rekaan baju tradisional di Malaysia ini. Mana nak carikan? 

Pada asalnya, Erma atau nama sebenar Fatimah Rahmad, 51, hanya ingin membuka ‘one-stop centre’ atau pusat sehenti di mana pengunjung serta pelancong boleh melihat produk tempatan yang dihasilkan oleh golongan B40 dan juga golongan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). 

Sampai terbawa-bawa pula watak Mak Cun dalam hidup Erma ni ya? Mana tidaknya, Erma sendiri menyatakan bahawa dia sendiri memahami pahit dan susahnya bagi golongan ini untuk membuka satu bisnes secara kecil-kecilan. 


Tambah Erma lagi, Rumah Budaya turut mempunyai pakej-pakej istimewa dimana pelancong boleh mengenakan pakaian tradisional Malaysia dan berjalan di kawasan Menara KL selama sejam. Ha menarik kan? 

Boleh bayangkan mat salleh pakai kain pelikat sambil makan tak pun berjalan di sekitar kawasan Menara KL? Macam sempoi je! 

“Pakej yang disediakan bergantung kepada pelancong mereka mahu yang mana. Sama ada bergambar di studio di mana pelancong boleh memilih sendiri background tempat popular di Malaysia atau mengambil pakej kebudayaan sehinggalah makan di restoran Skydeck. Harga pakej tersebut bermula pada RM150 sahaja,” tambah Erma lagi. 

Sementara itu, Dr Siti Hasmah dalam ucapan perasmiannya mengalakkan orang ramai terutama sekali wanita agar memakai pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung, baju kebaya serta batik ketika menghadiri majlis rasmi. 

Kan nampak manis, lagi-lagi kalau kenakan baju kurung Kedah, betul tak?

Apa pun tahniah buat Mak Cuna tau Erma Fatima kerana sedikit sebanyak telah berjaya mengekalkan budaya tradisional Malaysia supaya tidak tenggelam dek zaman.