Pelajar kolej dirogol bergilir-gilir enam lelaki


Kesemua suspek telah ditahan - Gambar Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Lagi kes membabitkan remaja dirogol dan dicabul.

Kali ini, dua orang pelajar perempuan mengalami pengalaman hitam apabila menjadi mangsa rogol secara bergilir-gilir kepada enam orang lelaki termasuk rakan kenalan mereka sendiri, Selasa lepas.

Tindakan efisien pihak polis telah berjaya menahan kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 16 - 21 tahun apabila kedua-dua mangsa berumur 15 tahun itu membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata hasil siasatan awal mendapati lima daripada suspek tidak bekerja dan seorang lagi suspek masih belajar.

“Kedua-dua mangsa yang berada di kolej dijemput dua lelaki menggunakan dua buah motosikal untuk pergi makan di sebuah kedai berhampiran kira-kira jam 8 malam.

“Bagaimanapun, suspek membawa mangsa ke rumah sewa mereka di Kampung Sungkak, Juasseh dan apabila sampai di tempat kejadian terdapat empat lelaki yang tidak dikenali menunggu." katanya.

Haslah berkata seorang mangsa dibawa suspek pertama ke sebuah bilik dan memeluknya.

Manakala suspek kedua membawa seorang lagi ke bilik yang lain lalu merogolnya.

"Setelah selesai, datang lagi empat lelaki masuk ke bilik itu dan merogol mangsa kedua secara bergilir-gilir, sebelum mereka menghantar mangsa pulang ke asrama mereka," ujarnya.

Rata-rata netizen mendesak agar polis mengenakan hukuman keras terhadap pelaku. 

Ada juga yang berpendapat bahawa warden di asrama perlu peka terhadap perihal kelakuan pelajar yang keluar asrama pada waktu malam.