Standard Bahasa Inggeris akan ditingkatkan ke tahap Eropah


Dr Maszlee menyampaikan watikah kepada panel yang terpilih menjadi MPSKBI bagi sesi 2018-2020. -Gambar dari FB KPM


By Huzraifah Atikah

Tahap penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan pelajar sekolah di Malaysia nampaknya masih tidak begitu memuaskan.

Selain daripada penguasaan Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan menginginkan penguasaan Bahasa Inggeris segera dipertingkatkan agar semua lapisan masyarakat boleh bertutur lebih dari satu bahasa dan ia satu kelebihan.

Dengan itu, mulai tahun ini kertas Bahasa Inggeris Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan dijajarkan kepada Common European Framework of Reference for Languages (CEFR), diikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021, dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (USPR) pada 2022.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kementeriannya sedang membangunkan kapasiti kepakaran bagi menjana pengetahuan dan kemahiran supaya dapat menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti, yang dijajarkan menerusi CEFR.

Perkara ini disampaikan oleh Maszlee ketika berucap di majlis penyampaian watikah pelantikan kepada tujuh orang Panel Pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris (MPSKBI) bagi sesi 2018-2020.

Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, penubuhan MPSKBI bertujuan bagi mengawal standard dan kualiti pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia supaya dapat mencapai piawaian antarabangsa.

“CEFR yang dimulakan secara berperingkat melalui kurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran itu bermula pada 2016 dan ia usaha transformasi untuk menaik taraf sistem pendidikan Bahasa Inggeris dalam melahirkan pelajar dan guru yang lebih baik di masa depan. 

“Dengan penjajaran penilaian peperiksaan kertas bahasa Inggeris UPSR, PT3 dan SPM kepada CEFR, murid akan mengetahui tahap penguasaan CEFR bahasa Inggeris masing-masing,” katanya lagi. 


Mereka yang dilantik adalah Profesor Adjung Dr. Zuraidah Mohd Don, Profesor Dr. Hazita Azman, Profesor Dr. Anna Christina Abdullah, Datin Dr. Mardziah Hayati Abdullah, Profesor Madya Dr. Ramesh Nair S. Raman Nair, Puan Jaya Pushani T. Ponnudurai dan Profesor Madya Dr. Ranjit Singh Gill.

Bagi merealisasikan aspirasi PPPM, MPSKBI turut dipertanggungjawab untuk menghasilkan Roadmap Bahasa Inggeris 2015-2025.

Maszlee berkata beliau amat yakin bahawa dengan pelantikan panel pakar ini, matlamat untuk mereformasi sistem pendidikan bahasa Inggeris negara akan tercapai.