Isteri dedah lelaki tampar wanita tidak beri signal kerana trauma kemalangan


Lelaki tampar dan tumbuk pemandu wanita


By Nadhirah Sofea Rashid

Minggu lepas, media sosial digemparkan dengan penularan sebuah video yang memaparkan seorang lelaki berang lalu menampar dan menumbuk seorang wanita yang gagal memberi isyarat membelok di jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur. 

Baca: Wanita ditampar dan ditumbuk sebab tak bagi signal

Sehubungan itu, polis sudah pun menahan lelaki tersebut yang berumur 37 tahun susulan satu laporan polis. 

Walau bagaimanapun, isteri kepada lelaki tersebut, Faridah Mohd Yatim, 38, menjelaskan bahawa tindakan suaminya itu berpunca daripada trauma dengan situasi sama yang menyebabkan dia mengalami kecederaan sebelum ini.

"Dua tahun lalu dia mengalami kecederaan dan patah tangan disebabkan sikap lalai pemandu kereta, sebab itu bila insiden itu berlaku, dia naik angin.

"Saya pun tak sanggup nak tengok dia kemalangan lagi, cukuplah sekali," ujar Faridah.

Terdahulu, Faridah juga menjelaskan apa yang sebenarnya terjadi supaya orang ramai dapat menilai dengan lebih adil sebelum mencaci suaminya itu.

Pemandu wanita tersebut dikatakan memaki lelaki tersebut dengan ungkapan 'Kaulah bodoh, kaulah gila' sebelum ditampar suspek.

Wanita itu juga dikatakan telah menggunakan telefon ketika memandu dan menukar lorang tanpa memberi isyarat sehingga menyebabkan suaminya hampir terbabas.

"Sebenarnya, video yang tular itu separuh je. Suami saya dan rakan-rakannya kata mereka sudah mengejar wanita itu dari satu selekoh sebelum dia berhenti.

"Suami saya memang panggil wanita itu bodoh kerana cara memandunya yang boleh mendatangkan kemalangan, tapi wanita itu balas 'kaulah bodoh, kaulah gila, itu sebabnya suami saya naik angin," tambah Faridah lagi.

Walau bagaimanapun,  Faridah tidak menyokong tindakan suaminya itu. Bagi dia, yang salah tetap salah. 

Faridah juga mahu berjumpa dengan mangsa untuk memohon maaf bagi pihak suaminya. 

"Suami saya sedar apa yang dilakukan itu adalah salah dan keterlaluan, lagi-lagi terhadap seorang wanita," katanya.

Lelaki tersebut ditahan reman bermula Jumaat lepas sehingga esok.

Apa-apa pun biarlah mahkamah yang menentukan pihak mana yang betul dan yang salah.