Mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman PTPTN akan dibentang


Wan Saiful Wan Jan berkata pelbagai cadangan diterima oleh PTPTN dari beberapa pihak. -Gambar dari Google


By Huzraifah Atikah

Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini masih menjadi topik bualan hangat dikalangan masyarakat dan juga para pelajar. 

Hujung tahun lepas, PTPTN telah membentang strategi bayaran balik namun ianya mendapat kritikan teruk dari semua pihak kerana dilihat tidak munasabah. 

Justeru itu, PTPTN mengadakan rundingan semula susulan keputusan kerajaan pada Dis 7 tahun lepas yang menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji berjadual (PGB).

Sejak Disember juga, PTPTN menerima pelbagai cadangan dan idea dari pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO), ahli ekonomi, institusi perbankan serta pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pelajar. 

Kini, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata pihak PTPTN sedia untuk membentangkan Kertas Konsultasi Rakyat mengandungi dokumen dan maklumat berkenaan mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman, pada suku ketiga tahun ini.

Pengumuman berkenaan kertas itu dijangka dibuat dalam tempoh terdekat selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman selesai meneliti dokumen berkenaan.

“Kita sudah minta ‘lampu hijau’ (untuk bentang) lebih kurang sebulan lepas tapi mungkin ada beberapa pertimbangan di peringkat atas,” katanya.

Beliau berkata, kertas itu nanti boleh diakses online orang ramai. PTPTN juga akan menyediakan web khas bagi membolehkan kertas itu dimuat naik secara menyeluruh untuk diteliti.

Wan Saiful berkata kertas berkenaan juga akan dibentang ke pengetahuan Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat akan datang bagi membolehkan mereka membahas dan mengemukakan cadangan.


Ditanya sama ada kertas itu mengandungi langkah asal seperti potongan gaji berjadual (PGB) seperti yang diumumkan sebelum ini, beliau menjelaskan itu juga terkandung dalam kertas berkenaan dengan beberapa pengubahsuaian mungkin dibuat.

Tidak dinafikan, beberapa langkah yang dibuat PTPTN sebelum ini seperti melanjutkan tempoh bayaran semula dari enam hingga 12 bulan bagi graduan yang baru menamatkan pengajian, serta pemberian diskaun tertentu untuk bayaran semula pinjaman memberi kesan kepada hasil kutipan.

Beliau juga optimis rumusan akhir itu nanti akan menentukan model baharu perniagaan PTPTN dalam menjana dan mengukuhkan sumber kewangannya, bagi membolehkan institusi itu meneruskan khidmatnya dalam memberikan pinjaman pendidikan kepada rakyat.