Kotor! TV, tuala wanita & tilam antara sampah yang dicampak ke dalam laut di Tawau


Sampah sarap yang dibuang sesuka hati - Gambar @buttrisyia


By Nadhirah Sofea Rashid

Tatkala seluruh dunia termasuk Malaysia sedang giat dengan kempen-kempen menyelamatkan bumi daripada pencemaran, masih ada segelintir yang mengambil perkara ini acuh tak acuh.

Seperti yang baru-baru ini viral di laman sosial yang menunjukkan kekotoran yang menjijikkan di sekitar Kampung Tanjung Batu Laut, Tawau, Sabah. 

Seorang pengguna Twitter @buttrisyia berkongsi pengalamannya melihat keadaan kampung yang sangat kotor dengan pelbagai jenis sampah sarap ketika menghadiri majlis kenduri kahwin.

Yang lebih mengejutkan, televisyen dan tilam rosak turut dihumban ke dalam laut sekeliling rumah mereka.

Menurut pengguna Twitter tersebut, tuala wanita yang sudah dipakai dan semua sisa daripada tandas juga turut disalurkan terus ke laut.

Walaupun kawasan tersebut dikelilingi sampah, @buttrisya turut mengatakan ia tidak berbau busuk mungkin kerana air pasang surut. 

Timbul persoalan bagaimanakah penduduk kawasan tersebut boleh hidup selesa dengan keadaan sebegitu?

Adakah mereka sudah biasa hidup dengan sampah sarap yang bergelumang?

Rata-rata netizen juga turut menzahirkan rasa kecewa mereka terhadap pencemaran laut yang berlaku.

Dengan tularnya gambar-gambar ini, diharapkan tindakan segera diambil bagi membanteras masalah pencemaran ini. 

Kalau kita tak pelihara laut kita dengan baik, siapa lagi?