Aizat Amdan Mahu Berkerjasama Dengan Jason Mraz


Jason Mraz dan Aizat Amdan


Baru sahaja menghasilkan filem pendek berjudul Angin Lalu yang juga gimik untuk single barunya dengan judul yang sama, kini penyanyi dan komposer Aizat Amdan telah diberi penghormatan untuk muncul artis pembuka tirai konsert jelajah penyanyi antarabangsa, Jason Mraz, Good Vibes Tour 2019.

Merupakan salah satu hentian konsert jelajah Asia bintang terkenal itu, Good Vibes Tour 2019 - Jason Mraz bakal berlangsung pada 13 Mei 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kata Aizat pemilihannya sebagai artis pembuka segmen di dalam konsert jelajah Jason Mraz itu adalah suatu penghormatan yang cukup besar buat dirinya. 

"Saya berasa amat bersyukur diberikan peluang untuk berkongsi pentas yang sama dengan pemenang Grammy yang pernah menjadi fenomena pop global menerusi hits klasiknya 'I'm Yours'.

"Ini merupakan suatu kejayaan peribadi buat diri saya. Malah saya juga sangat teruja untuk bertemu dengannya secara dekat dan berkongsi pandangan tentang muzik. 

"Saya berharap agar kami boleh bekerjasama di masa hadapan," kata Aizat yang mula mencipta nama sejak kejayaan besar album debutnya 'Percubaan Pertama' pada tahun 2008. 

Aizat sebelum ini pernah popular dengan lagu hitsnya 'Pergi', 'Hanya Kau Yang Mampu', 'Susun Silangkata', 'Sungai Lui' dan 'Kau Aku'. 

Tahun lepas, Aizat menerbitkan lagu yang dirakam dalam dua bahasa iaitu 'Sampai Ke Hari Tua' dan juga lagu 'Harapan Jadi Nyata' yang merupakan sebuah lagu penghormatan buat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia. 

Penyanyi dan komposer berbakat yang pernah memenangi pelbagai anugerah ini, turut menyumbang dan menghasilkan lagu untuk artis tempatan antaranya Fattah Amin, Aisyah Aziz dan Haiza. 

Sepanjang kerjaya seninya selama 12 tahun, karya Aizat bukan sahaja berjaya menakluki gelombang radio tempatan malah berjaya mencapai jutaan strim di kesemua pelantar media digital popular.

Terkini, Aizat telah melancarkan lagu terbaharunya 'Angin Lalu' pada 26 APRIL 2019 yang boleh didapati di kesemua pelantar digital.