Pelajar UiTM terkejut pencerobohan rumah oleh tetamu tidak diundang!


Mereka cuba membawa anjing itu keluar rumah


By Nadhirah Sofea Rashid

Tiga pelajar UiTM terpaksa berhempas pulas dalam suasana hiruk pikuk apabila tetamu yang tidak diundang tiba-tiba menjenguk ke dalam rumah.

Pelajar UiTM Segamat Nazrin Nazhan mengatakan rumah sewa mereka itu tiba-tiba berbau busuk dan ditambah bunyi seperti sedang mengunyah.

Mereka bimbang apa agaknya tetapi rupa-rupanya ia bukanlah penceroboh. Ia hanya seekor anjing yang tumpang berteduh.

Kejadian itu berlaku apabila pintu rumah pelajar-pelajar tersebut tidak ditutup.

"Pagi tu kawan serumah saya nak pergi Gunung Ledang. Saya ingat dia tutup pintu depan lepas dia keluar. Jadi, saya lepak jelah dalam bilik main game.

"Tengah syok main game tiba-tiba terbau bau yang busuk sangat diikuti dengan bunyi mengunyah. Tapi, bila lihat sekeliling bilik, tak ada apa-apa yang pelik pula," ujarnya.

Nazrin berkata selepas tidak tahan dengan bau yang terlalu busuk, dia terus bangun dari katilnya.

Rupa-rupanya, ada seekor anjing sedang tidur di tepi katil.

Nazrin turut berkata dia cuba membawa anjing tersebut keluar, namun tidak berjaya. 

Sebaliknya, anjing tersebut masuk ke bilik rakannya yang lain!

"Ada dua orang kawan saya dalam bilik tu, langsung tak perasan pada mulanya, Namun sebaik sahaja nampak, mereka terus jerit terkejut!," ujar Nazrin.

Nazrin berkata anjing itu kelihatan penat dan kepalanya ada kecederaan.

Selepas gagal beberapa kali, mereka cuba untuk menarik keluar tilam yang anjing itu duduk.


"Sampai je ruang tamu, anjing tu bangun dan masuk balik ke bilik. Tapi kali ni masuk bilik dan terus tidur," katanya.

Akhir sekali, kawan serumahnya, Zainol terpaksa mengangkat anjing tersebut keluar dari rumah dengan menyepit hidungnya kerana terlalu busuk.

Video tetamu tak diundang itu telah menjadi viral dan mendapat lebih 30,000 retweets.

Nazrin juga berkata anjing tersebut selalu berkeliaran di keliling rumah mereka. 

"Sesekali ada juga kami bagi makan sebab kesian tengok. Cuma tak sangka pula dia masuk tumpang tidur. Selepas insiden itu memang kami lebih berwaspada, pintu rumah dan pagar sentiasa ditutup," ujarnya. 

Selepas tetamu itu keluar daripada rumah, Nazrin dan kawan-kawan terus memulakan kerja-kerja pembersihan dan menyertu rumah.