Tak Sangka! Zizi Kirana Pernah Ajar Budak Mengaji di Masjid...


Penyanyi, Zizi Kirana pernah bergelar ustazah


By Syafiqah Azman

Siapa sangka penyanyi yang sering dikecam kerana penampilan fesyen ranggi, seksi dan beraninya ini pernah mengajar kanak-kanak mengaji dan bergelar seorang ustazah. 

Menurut penyanyi Zizi Kirana atau nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil, 34, dia pernah mengajar kanak-kanak mengaji Al-Quran di masjid kampung halaman secara sukarela setelah tamat pengajian di tingkatan lima. 

Ha, jangan pandang Zizi sebelah mata sahaja ya? Dalam diam Zizi ni pandai mengajar orang mengaji tau! 

“Selepas tamat belajar, saya mengajar budak-budak mengaji di masjid selama tiga tahun,” jelasnya. 


Tambah penyanyi lagu Nak ke Tak Nak, rumahnya yang berhadapan dengan masjid membuatkannya lebih mudah untuk mengajar budak-budak mengaji di masjid dan sehingga kini orang-orang di kampungnya mengetahui tentang sisi Zizi yang tidak diketahui ramai ini. 

“Selepas mengajar mengaji, saya mulakan karier saya sebagai penyanyi nasyid bersama kumpulan Zaiyan dan akhirnya sekarang menjadi penyanyi komersial,” kongsi Zizi. 

Mesti sedapkan suara Zizi bila nyanyi lagu nasyid? Orang cakap kalau pandai mengaji, nyanyi pun sedap, ha orang cakap la, kalau salah jangan marah. 


Sementara itu, Zizi turut berkongsi rutinnya yang sering membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat walaupun sibuk dengan karier seni nyanyiannya. 

“Kalau saya susah nak tidur saya buka Al-Quran dan berzikir kerana ia buat saya tenang. Dan sehingga kini saya selalu amalkan baca Yasin di rumah pada malam Jumaat,” tambahnya. 

Terdahulu, Zizi memuat naik satu foto dirinya mengenakan tudung dan secara tidak langsung ramai netizen yang memberi pujian serta komen positif terhadap penampilannya itu. 

Mengakui jarang mendapat reaksi sebegitu daripada netizen, Zizi menjelaskan bahawa komen positif tersebut membuatkan dirinya gembira dan meminta agar orang ramai mendoakan yang baik-baik buat dirinya. 

Insya Allah kalau niat baik, segalanya pasti akan dipermudahkan, betul tak? Doa yang baik-baik sahaja ya?